MAKKAH- Lembaga Tabung Haji (TH) melaporkan enam kematian baharu jemaah haji Malaysia yang direkodkan setakat 19 Jun 2024.
Ia membabitkan seorang jemaah dari Sarawak, seorang lagi dari Sabah, seorang jemaah Johor, dua (2) dari Perak dan seorang jemaah dari Kelantan. Keenam-enam jemaah sempat melakukan wukuf di Arafah.
Bawi Solek, 75, dari Sarawak, meninggal dunia akibat serangan jantung; Raksan@Hassan Matasil, 74, dari Sabah meninggal dunia disebabkan oleh serangan jantung, dan Madon Mohamed, 71, asal Masai, Johor, meninggal dunia disebabkan paru-paru berair kerana kegagalan jantung.
Roba’ayah Yusoff, 71, dari Beruas, Perak, meninggal dunia akibat serangan jantung, Syed Abu Hassan Basri Syed Ahmad, 74, dari Sauk, Perak, meninggal dunia akibat serangan jantung, dan Nik Noor Azlinna Noor Basir, 54, dari Kota Bharu, Kelantan, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada darah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, semua waris sudah dihubungi dan Pengurusan Kanan TH mengucapkan salam takziah.
“Dalam pada itu, seramai 93 jemaah sedang dirawat di hospital yang mana seramai 79 orang jemaah berada di Pusat Rawatan TH di Syisya, dan 12 orang pula menerima rawatan di Hospital Arab Saudi, sementara tiga (3) jemaah dirawat di Klinik Kecemasan Janadriyah,” lapor Bernama.
Justeru itu, Mohd Naim terus menasihatkan jemaah terus menjaga kesihatan lebih-lebih lagi dengan cuaca panas melampau.
“Jemaah disaran supaya banyak minum air dan tidak terdedah kepada cuaca panas di luar bagi mengelak pelbagai penyakit disebabkan cuaca panas seperti strok haba dan penyakit berkaitan pernafasan serta jangkitan paru-paru,” tambahnya.