KUALA LUMPUR -Mesyuarat Khas Melibatkan Ahli Jemaah Menteri dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian mengenai Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) di Putrajaya semalam, bersetuju supaya semua pihak perlu bergerak sebagai satu pasukan ke arah mempercepatkan pelaksanaan reformasi dan inisiatif ekonomi yang dirancang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KSP RMKe-12 juga perlu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat susulan daripada perubahan dan cabaran sosioekonomi semasa.
“Input-input daripada semua kementerian akan diambil kira dalam penyediaan KSP RMKe-12 ini.
“Sehubungan itu, semua kementerian perlu lebih serius serta bertindak dengan lebih proaktif, agresif dan berani bagi menyelesaikan isu-isu pelaksanaan dasar terutamanya berkaitan rakyat mengikut lunas perundangan sedia ada,” jelas Perdana Menteri dalam kenyataan di Facebooknya semalam.
Antara lain kata beliau, mesyuarat Khas ini bagi membincangkan hala tuju baharu (2023–2025) yang perlu dibentangkan dalam KSP RMKe-12 bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan berada di landasan yang tepat ke arah mencapai agenda Malaysia MADANI.
“KSP RMKe-12 merupakan dokumen dasar yang signifikan dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara yang seimbang dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan berteraskan nilai-nilai murni,” ujar Anwar.