KUALA LUMPUR – Apa yang perlu dilakukan oleh parti-parti yang bersaing memasuki pilihan raya ialah memperkasakan lagi pasak Islam yang telah ada dan telah dibangunkan dalam negara ini di samping semak dan imbang terhadap tatakelola bukannya menafikan status Malaysia sebagai negara Islam.
Ahli Majlis Ulama Umno, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan, semua sejarah yang panjang perkembangan Islam di Malaysia meletakkan Malaysia sebuah negara Islam bukannya negara sekular.
“Perlembagaan Malaysia dan sistem perundangan negara menjadi pasak yang melorongkan semua kejayaan pentadbiran dan pembangunan Islam ini.
“Justeru, masihkah relevan dakwaan Malaysia sebagai negara sekular dalam sejarah panjang Malaysia sejak sebelum merdeka 1948 sehingga hari ini?
“Namun, PAS masih melagukan lagu “sekular – pemisahan agama dan politik” sebagai modal berpolitik.
“Itulah yang masih dipaparkan oleh Minda Presiden PAS dalam tulisan terakhir beliau,” bidas bekas Majlis Syura Ulama PAS itu dalam kenyataan medianya pada Isnin.
Tegas beliau, Malaysia adalah Negara Islam sejak awal penubuhannya malah sejak sejarah kelahiran empayar Melaka pada abad ke 14 lagi.
Menurut Khiaruddin lagi, tidak pernah sekali-kali negeri-negeri Melayu menjadi sekular memisahkan Islam daripada pentadbiran melainkan sedikit kecacatan era penjajahan di beberapa negeri Melayu Bersekutu sejak 1874 sehingga 1948.
“Sekularisme adalah tuduhan yang lama ditujukan pada kerangka bernegara di Malaysia oleh PAS. Ia adalah tempias pemikiran daripada kerangka bernegara di negara Arab pasca kejatuhan Khilafah Islam Uthmaniyah pada 1924.
“Negara Sekular Turkey ditubuhkan atas kejatuhan Khalifah Islam. Penjajah barat masuk ke negara-negara Arab dan apabila negara-negara ini merdeka, negara republik ditubuhkan yang rata-ratanya dipimpin oleh parti sosialis Arab.
“Namun, membicarakan tentang pemikiran sekular di negara Arab memerlukan perincian yang lebih halus. Saya cuma mahu berbicara tentang Malaysia dulu.
Suasana di negara Arab jauh berbeza dengan kerangka bernegara Malaysia. Ini sejarah yang cuba dilupakan. Menyamakan pemikiran sekular setengah negara Arab dengan Malaysia sangat silap dan tersasar,” tegasnya.
Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang slogan ‘Malaysian Malaysia’ adalah satu konsep bagi membantah Perkara 153 dalam Perlembangaan Persekutuan Malaysia yang menyediakan pelbagai hak keistimewaan kepada orang Melayu dan Bumiputera.
Hal demikian kata beliau, dua konsep perjuangan DAP yang wajib diketahui oleh semua pihak ialah sekularisme ekstrem dan ‘Malaysian Malaysia’.
Menurut Hadi, kedua-duanya menjadi konsep yang tetap mempengaruhi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bercampur dan didominasi oleh DAP kerana mereka merupakan parti paling besar jumlahnya dicampurkan dengan golongan bukan Islam yang ekstrem dan kelompok Islam liberal dalam PKR.
Justeru, Hadi menyeru agar umat Islam wajib menentang kedua-dua konsep yang salah ini.