PRK Chini: Sah 3 Penjuru, Pencadang Calon BN, Tim. Yang Dipertua PAS Pekan

- Advertisement -

PEKAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini secara rasminya akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Selain Mohd Sharim Md Zain, 41, yang mewakili BN, dan ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, seorang lagi calon ialah aktivis masyarakat Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.

Pengumuman senarai calon yang bertanding dibuat oleh pegawai pengurus pilihan raya, Datuk Zaliza Zulkipli sebentar tadi.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan itu dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonan,” katanya ketika mengumumkan nama-nama calon.

Tengku Zainul Hisham yang pertama sekali mengemukakan kertas pencalonan pada jam 9 pagi, akan menggunakan simbol rumah.

Mohd Sharim, generasi kedua Felda Chini, yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, menjadi individu kedua mengemukakan borang pencalonan pada 9.01 pagi bagi mempertahankan kerusi DUN BN itu.

Antara perkara menarik dalam pencalonan Mohd Sharil ialah, pencalonan beliau disokong Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, yang juga calon PAS yang tewas bertanding di kerusi itu kepada calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lepas.

Manakala, Mohd Shukri, yang juga seorang penulis blog, akan menggunakan simbol kunci dan mengemukakan borang pencalonan pada 9.04 pagi.

30 Jun telah ditetapkan SPR sebagai tarikh pengundian awal.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lepas di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak PRU-11 pada 2004.

Pada PRU-14, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan Mohd Fadhil Noor (PAS) yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi – sumber Bernama

– SuaraTV

author avatar
Nur'ain Musa
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat