Hadam mesej Sultan Selangor bukan sekadar lawat monumen tapi keperluan ahli politik fahami semula makna Rukun Negara – Ronnie Liu

KUALA LUMPUR – Bekas Adun Sg Pelek Ronnie Liu percaya mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bukan sekadar mengenai kehadiran ke Dataran Selangor untuk melihat plak monumen Rukun Negara yang baru dipasang, tetapi ia mengenai keperluan untuk semua ahli politik memahami semula makna.

Katanya makna yang tersirat di sebalik menghormati negara, menghormati Perlembagaan,menghormati kedaulatan undang-undang,
dan menghormati institusi Raja-Raja serta menghormati sesama rakyat Malaysia.

Katanya, lima prinsip Rukun Negara sebenarnya merupakan satu semangat kebangsaan yang lengkap:

1.⁠ ⁠Kepercayaan Kepada Tuhan

2.⁠ ⁠Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

3.⁠ ⁠Keluhuran Perlembagaan

4.⁠ ⁠Kedaulatan Undang-Undang

5.⁠ ⁠Kesopanan dan Kesusilaan

“Patik percaya kelima-lima prinsip ini tidak boleh difahami secara terpilih, tetapi perlu dihayati secara menyeluruh sebagai asas budaya politik negara.

“Sebagai seorang yang telah lama terlibat dalam perjuangan politik dan demokrasi negara, patik juga amat menghargai keluhuran Perlembagaan sebagai asas utama kestabilan dan keharmonian Malaysia.

“Malah, sebagai lambang penghormatan terhadap prinsip tersebut, anak patik sendiri diberikan nama “Zun Xian” (尊宪), yang membawa maksud menghormati Perlembagaan — sebagai simbol bahawa kelangsungan generasi masa depan juga harus dibina atas penghormatan terhadap undang-undang, Perlembagaan dan asas negara.

“Politik era baharu tidak sepatutnya lagi dibina atas kebencian, emosi dan perpecahan, tetapi perlu dibina atas kematangan, rasional, rasa hormat dan masa depan negara.

“Apa yang rakyat harapkan hari ini bukan sekadar ahli politik terus bertelagah, tetapi ahli politik yang sanggup kembali kepada prinsip negara dan bersama-sama membina Malaysia yang lebih matang, stabil, bersatu serta penuh harapan untuk generasi akan datang,” katanya.

Ronnie yang juga bekas Exco Selangor menyuarakan sokongan terhadap peringatan Sultan Sharafuddin Idris Shah dari Selangor kepada ahli politik tentang kepentingan menegakkan Rukun Negara dan nilai-nilai kebangsaan.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya, bekas Adun Sg Pelek yang keluar dari DAP pada 2023 berkata, bahawa titah sultan agar pemimpin politik melawat Dataran Selangor bagi melihat plak monumen Rukun Negara yang baru dipasang bukan sekadar simbolik, tetapi membawa mesej yang lebih mendalam tentang kembali kepada prinsip asal yang menjadi asas penubuhan Malaysia.

Kenyataan beliau itu dibuat selepas Sultan Sharafuddin secara jelas mencadangkan agar Liu, dan Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki, melawat tapak tersebut untuk mempelajari kepentingan menghormati institusi diraja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

“Daulat Tuanku, Patik dengan penuh rendah diri dan setinggi-tinggi penghargaan merakamkan menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Selangor kerana sudi mengingatkan semua ahli politik agar kembali memahami semangat sebenar Rukun Negara, khususnya dalam suasana politik dan masyarakat yang semakin dipenuhi emosi serta perpecahan.

“Pada pandangan patik, titah baginda supaya ahli politik hadir ke Dataran Selangor sebanyak dua kali sebulan untuk mendekati rakyat dan menghayati semula Rukun Negara bukan sekadar satu aktiviti simbolik atau formaliti semata-mata.

“Sebaliknya, ia membawa makna yang jauh lebih mendalam, iaitu mengingatkan semua ahli politik supaya kembali kepada asas pembinaan negara.

“Hari ini, masalah yang dihadapi Malaysia bukan sekadar persaingan politik, tetapi budaya politik yang semakin ekstrem, emosional dan saling menyerang sehingga semakin menjauh daripada semangat asal pembinaan negara,” jelasnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat