Rafizi ditegur pencetus keresahan dalaman, serang parti sendiri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tindakan menyerang dalam parti selain cuba melemahkan kepemimpinan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka sama sekali tidak boleh diterima.

Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Datuk Seri Amir Hussein meminta semua pihak menolak politik perpecahan yang sedang cuba ditanam dalam tubuh parti oleh pihak yang rakus kuasa tetapi lemah dalam muhasabah.

Amir dari Cabang Labuan menyeru atas dasar itu, semua perwakilan diminta untuk membuka mata dan menilai dengan waras kerana pemilihan PKR bukan sekadar menentukan pihak yang menang tetapi ia juga penting dalam menetapkan pemimpin yang masih setia kepada semangat asal parti.

Untuk rekod, Kongres Nasional PKR 2024/2025, termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita akan diadakan bermula esok hingga Sabtu ini.

Pada masa sama, Amir berkata, adalah penting untuk ahli parti menyelamatkan idealisme dan perpaduan PKR yang kini diuji oleh tindakan tidak bertanggungjawab dari dalam.

Beliau turut menegur tindakan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli yang seharusnya menjadi penguat parti, bukan perosak semangat solidariti.

Melalui kempen Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Rafizi sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan itu membuat beberapa kenyataan panas termasuk ramai berpusu-pusu menyertai parti terbabit untuk mengejar jawatan dan kuasa selain membayangkan beliau mungkin akan kembali tidak dibenarkan masuk ke Sarawak sekiranya tiada lagi berjawatan dalam kerajaan dan parti.

Pada masa sama, Amir menerangkan enam perkara yang disentuh Menteri Ekonomi itu ketika kempen HIRUK antaranya mengenai budaya ‘pak turut’ atau strategi konsensus?

Amir turut menyentuh mengenai dakwaan Rafizi dalam perkara membabitkan ‘idealisme parti dan anak muda’, ‘persepsi rasuah dan kerajaan’, ‘isu Sabah dan kongres’, ‘surat sulit dan salahkan pejabat Presiden serta Nurul Izzah dan ujian kepimpinan.’

“Dalam perkara membabitkan budaya ‘pak turut atau strategi konsensus’, Rafizi mendakwa parti dipenuhi dengan ‘pak turut’. Saya ingin menegaskan apa yang beliau anggap sebagai ‘pak turut’ adalah sebenarnya semangat musyawarah dan disiplin organisasi yang menjadi tunjang PKR sejak penubuhannya.

“Menghormati keputusan majoriti bukan bermaksud tunduk membuta tuli, ia adalah asas kepada amalan demokrasi,” katanya dalam kenyataan lapor BH pada Selasa.

Amir berkata, parti tidak pernah lari daripada idealisme reformasi namun pendekatan Rafizi yang semakin menjauhkan anak muda dari proses politik sihat.

Beliau berkata, mempertikaikan segalanya secara terbuka tanpa penyelesaian yang membina tidak menjadikan Rafizi seorang pejuang, tetapi pencetus keresahan dalaman.

“Mengenai persepsi rasuah dan kerajaan. Benar, rakyat mahu kerajaan lebih tegas menangani rasuah. Namun, menyerang parti sendiri dengan memberi gambaran seolah-olah PKR bersubahat, adalah pengkhianatan kepada kepercayaan rakyat.

“Sebagai anggota kerajaan, beliau seharusnya memperkukuh usaha pembaikan institusi, bukan menambah persepsi negatif demi modal politik peribadi,” katanya.

Amir berkata, mengenai isu Sabah dan Kongres, keengganan Rafizi untuk merasmikan Kongres AMK dan Wanita serta kritikannya terhadap pelancaran jentera pilihan raya Sabah adalah tanda protes yang tidak profesional.

Katanya, jika benar Rafizi tidak bersetuju, beliau sepatutnya menyatakan perkara itu melalui saluran dalaman dan bukan dengan membuat ‘drama politik’ yang melemahkan moral jentera parti di peringkat akar umbi.

“Tindakan Rafizi menuduh pejabat Presiden membocorkan surat sulit hanyalah usaha ‘reverse psikologi’ untuk mengalih perhatian dari tindakan beliau sendiri yang mencetuskan ketegangan.

“Ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menjadikan institusi Presiden sebagai kambing hitam.

“Paling mengecewakan ialah cubaan beliau untuk meletakkan kekalahan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar kelak sebagai penolakan terhadap presiden sendiri,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat