Pelabuhan Klang: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri Pahang menerusi Sekretariat Pahang4Palestine melancarkan penghantaran barang bantuan kemanusiaan dari Pahang ke Gaza, di NYS Marketing, Pelabuhan Klang, Selangor.
Katanya, sebanyak 30 tan barang bantuan seperti pek makanan retort (nasi arab ayam dan nasi arab kambing), selimut dan juga ubat-ubatan bernilai RM1.602 juta akan dihantar menerusi jalan laut yang akan bergerak dari Pelabuhan Klang pada 1 Jun 2024 dan dijangka akan tiba di Pelabuhan Said, Mesir pada 4 Julai 2024 dengan kerjasama Ops Ihsan.
Jelas Wan Rosdy lagi, misi penghantaran barang bantuan kemanusiaan ini adalah hasil kutipan derma menerusi tabung Pahang4Palestine yang mula digerakkan setelah penganjuran Himpunan Solidariti Pahang4Palestine di Kuantan, Pahang pada 28 Oktober 2023 lepas.
“Misi kemanusiaan ini merupakan kali kedua yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pahang, di mana kali pertama Kerajaan Negeri telah menyalurkan wang tunai RM700,000 untuk membaik pulih masjid dan sekolah yang musnah dalam serangan Rejim Israel menerusi Kempen Dana Tabung Pahang For Palestine dan Pelancaran Projek Rakyat Pahang di Bumi Gaza pada tahun 2021.
“Kerajaan Negeri Pahang terus konsisten mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Rejim Israel ke atas penduduk awam Palestin di Gaza yang telah mengorbankan lebih 35,000 nyawa yang rata-ratanya terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang tua,” kata Wan Rosdy ketika Majlis Pelancaran Flag-Off Barang Bantuan Kemanusiaan dari Pahang ke Gaza, di NYS Marketing, Pelabuhan Klang, Selangor, sebentar tadi.
Turut hadir Duta Besar Palestin ke Malaysia, Mr Walid Abu Ali, dan Duta Besar Mesir ke Malaysia, Mr Ragai Tawfik Said Nasr. Selain itu, Speaker Dun Pahang, Dato’ Sri Shakar Shamsuddin, Exco Komunikasi,Exco Komunikasi dan Multimedia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal selaku Pengerusi Sekretariat Pahang4Palestine, Exco-Exco kerajaan negeri, dan dif-dif jemputan.
Dalam pada itu, kata Wan Rosdy lagi, tragedi serangan bom bertubi-tubi terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza ini benar-benar menyentuh perasaan untuk kita turut merasai keperitan dan penderitaan mereka.
Walaupun pelbagai desakan dan kecaman di peringkat antarabangsa telah disuarakan, namun ia langsung tidak diendahkan, malahan kezaliman dan penindasan yang dilakukan rejim haram Israel terus dilakukan tanpa belas kasihan.
“Ternyata, rejim haram Israel sama sekali tidak mengiktiraf kewujudan negara Palestin yang merdeka, sedangkan negara Israel itulah sebenarnya yang merupakan entiti haram dan tidak sah.
“Sejak penghijrahan besar-besaran bangsa Yahudi dari seluruh pelosok dunia ke bumi Palestin dalam apa yang dipanggil sebagai ‘exodus’ sehingga kemuncaknya pada tahun 1948, bumi bertuah yang dahulunya dihuni dengan aman oleh berbilang bangsa dan agama terutamanya di bawah pemerintahan Sultan Salehuddin Al-Ayubi dan Empayar Uthmaniyah, kini telah hilang kedaulatan dan kemerdekaannya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sehingga kini lebih 35,000 orang rakyat Palestin yang rata-ratanya terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang tua telah menjadi korban keganasan dan kekejaman rejim haram Israel yang tidak berperikemanusiaan.
Malah, keadaan rakyat Palestin seramai 1.5 juta orang pada ketika ini yang sedang berlindung di Rafah cukup genting, mereka bukan sahaja kekurangan sumber makanan dan ubat-ubatan yang kritikal, tetapi keadaan mereka juga ibarat ‘telur di hujung tanduk’ apabila rejim haram Israel telah merancang untuk menyerang secara besar-besaran kedudukan terakhir penduduk Gaza itu.
“Kini, seluruh dunia tertumpu kearah Rafah. Desakan dan bantahan terus disuarakan oleh masyarakat dunia bagi menghalang Israel meneruskan tindakan jahat mereka itu yang secara jelas niat mereka adalah untuk menghapuskan penduduk di Gaza.
“Oleh itu saya berharap agar seluruh dunia terutamanya negara-negara Arab terus memberi desakan dan tekanan yang kuat terhadap Israel agar tindakan kejam ini dapat dihentikan dan genjatan senjata dapat dilaksanakan agar bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada penduduk Palestin.
“Kerajaan Negeri Pahang terus konsisten mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Rejim Israel ke atas penduduk awam Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan krisis kemanusiaan terburuk ketika ini,” katanya.SUARATV