KOTA BHARU: Seorang mekanik terperanjat apabila mendapati telaga tiub yang digerudi di hadapan rumahnya tidak menghasilkan air, sebaliknya mengeluarkan gas.
Proses menggali telaga tiub di rumah Baharudin Mustapa, 50, dekat Kampung Lebai Abas, Beta Hulu, di sini dilakukan pada pagi Isnin lalu dan mula mengeluarkan gas selepas dua hari kerja mencuci batang paip dilakukan.
Baharudin berkata, selepas dilakukan kerja pembersihan batang paip yang digali sedalam 22.8 meter itu, air dari bawah tanah tidak keluar dan hal itu mendatangkan rasa pelik kepada mereka sekeluarga.
“Pagi Jumaat lalu, ketika saya cuba menghidupkan pam bagi menyedut air, secara tiba-tiba terdengar bunyi letupan daripada batang paip itu dan tidak lama kemudian saya dapati wap keluar bersama buih kecil di permukaan batang paip berkenaan.
“Saya cuba menguji dengan pemetik api dan tanpa disangka ia mencetuskan pembakaran daripada gas yang keluar dari telaga tiub terbabit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, malam tadi.
Bukan sahaja mengeluarkan wap gas, kedengaran juga bunyi seakan menggelegak dari dalam batang paip terbabit yang dipercayai hasil campuran gas dengan sumber air bawah tanah.
Baharudin berkata, beliau berusaha menggali telaga tiub itu kerana keluarga berdepan masalah bekalan air sepanjang tiga tahun tinggal di situ hingga terpaksa menumpang bekalan air rumah jiran yang disambung menggunakan tiub getah.
Katanya, sebelum menggali telaga tiub itu, dia sudah pun menggali perigi namun sumber air tidak boleh digunakan kerana terlampau keruh menyebabkan dia terpaksa menggunakan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM1,600 yang diterima baru-baru ini untuk menjalankan kerja menggali telaga tiub.
Bagaimanapun sumber air yang diharapkan tidak juga keluar sebaliknya digantikan dengan wap gas dan menurutnya lagi, sejak kejadian itu berlaku, kediamannya tidak putus dikunjungi penduduk kampung yang ingin menyaksikan sendiri.
“Sejak lima malam lalu, ramai penduduk yang datang untuk melihat sendiri kejadian itu malah ada yang meminta kami membuat demonstrasi menggoreng telur.
“Sumber air memang kelihatan dalam batang paip itu namun tidak dapat dipam keluar dan mungkin ia disebabkan tekanan wap yang menyebabkan air gagal disedut.
“Setakat ini kami tidak melihat sebarang bahaya yang wujud malah wap gas itu juga tidak mengeluarkan bau seperti gas memasak cuma kami tidak pasti untuk jangka masa panjang adakah ia akan memberi kesan kepada sumber air sekitar,” katanya – Berita Harian