KUALA LUMPUR, — Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memberi tumpuan kepada pembangunan bakat negara dalam bidang pertahanan melalui pendekatan ekosistem menyeluruh yang melibatkan akademia, industri dan kerajaan.
Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad berkata, usaha membina bakat negara memerlukan pemahaman jelas terhadap peranan setiap pemain utama serta pengukuhan sinergi dalam pembangunan keupayaan dan peralatan pertahanan.
“Untuk membina bakat negara, kita perlu memahami ekosistem siapa penggerak utama dan bagaimana sinergi itu dapat memperkukuh pembangunan keupayaan pertahanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas peranan UPNM dalam memperkukuh sektor pertahanan sempena DSA & NATSEC Asia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.
Menurut beliau, UPNM kini memberi penekanan kepada teknologi masa hadapan termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi serta aplikasi sains termaju dalam bidang pertahanan dan keselamatan.
“UPNM juga memberi fokus kepada pertahanan siber serta eksplorasi teknologi baharu termasuk AI yang diaplikasikan dalam sektor pertahanan,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem tersebut, beliau menegaskan keperluan kerjasama erat antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi melalui pendekatan “whole-of-government” dan “whole-of-society”.
“Inilah yang UPNM lakukan dalam memperkasa pertahanan dan keselamatan negara,” katanya.
Sementara itu, UPNM mencatat kejayaan bersejarah apabila memeterai 16 perjanjian strategik bersama rakan industri pertahanan dari dalam dan luar negara sempena DSA & NATSEC Asia 2026.
Perjanjian tersebut melibatkan rakan strategik dari lima negara iaitu Malaysia, Perancis, Korea Selatan, Turki dan Indonesia, merangkumi pelbagai bidang kritikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan modal insan, teknologi pertahanan serta pemindahan teknologi.
Daripada jumlah itu, ia terdiri daripada enam Memorandum Perjanjian (MoA), empat Memorandum Persefahaman (MoU), tiga Perjanjian Kerahsiaan (NDA) dan dua Surat Niat (LoI).
Selain itu, UPNM turut mempamerkan inovasi tempatan termasuk sistem dron taktikal berasaskan AI serta teknologi salutan anti-kulat untuk aset pertahanan dalam persekitaran tropika.
Penyertaan UPNM dalam pameran pertahanan antarabangsa itu mencerminkan peranan universiti berkenaan bukan sahaja sebagai institusi akademik, tetapi juga rakan strategik dalam pembangunan teknologi pertahanan negara. – Suara TV



