TAPAH,– Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa UMNO semakin kehilangan kekuatan selepas berpisah daripada kerjasama dengan PAS, sekali gus menyaksikan peralihan undi Melayu kepada partinya.
Dalam ucapannya di Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning malam Sabtu, memetik laporan Sinar Harian, Hadi berkata perpecahan itu memberi kesan besar kepada UMNO yang kini tidak lagi menjadi pilihan utama pengundi Melayu. kenyataan itu turut dikaitkan dengan keputusan PRU15 yang menyaksikan penyusutan ketara undi Melayu terhadap UMNO.
“UMNO makin lemah bila berpisah dengan PAS. Berlaku hari ini, PAS dapat undi Melayu dan UMNO merosot. DAP pula dapat undi bukan Islam,” katanya.
Majlis turut menyaksikan kehadiran Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta calon PN PRK Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek.
Satu kejutan dalam majlis itu apabila bekas Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin menyerahkan borang menyertai PAS, disambut sendiri oleh Hadi Awang di hadapan ribuan penyokong yang berhimpun dalam hujan lebat.
Hadi turut menyentuh soal dominasi politik Melayu-Islam di Malaysia, menekankan bahawa kuasa pemerintahan wajar diterajui oleh orang Islam selaku majoriti.
“Bukan Islam boleh bersama dalam negara Islam, tapi kuasa politik mesti orang Islam pimpin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau membidas kepimpinan DAP yang didakwanya bersikap ekstrem dalam kenyataan berkaitan Islam, serta menyentuh isu kontroversi berkaitan kesilapan cetakan bendera Malaysia baru-baru ini.
“Yang terakhir, buang bulan dalam bendera. Bulan itu simbol Islam di bawah Raja-Raja. Tapi ada yang pandang ringan, termasuk Perdana Menteri,” tambahnya.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyeru pengundi Ayer Kuning supaya memilih calon yang mampu membawa suara rakyat dengan berani dan berprinsip, bukannya calon yang hanya menurut telunjuk.