PM Seru Rakyat Kukuhkan Perpaduan, Amalkan Kesederhanaan dan Hayati Semangat Ramadan Sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR,— Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia untuk terus memperkukuh perpaduan, mengamalkan kesederhanaan serta menghayati semangat Ramadan dalam menyambut Aidilfitri tahun ini.

Menurut beliau, sambutan hari kemenangan itu wajar dijadikan medan untuk membulatkan tekad dalam merealisasikan agenda Malaysia MADANI yang menekankan pengangkatan martabat insan, penegakan keadilan, mempertahankan prinsip hidup yang benar serta memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara menyeluruh.

“Pada hari kemenangan ini, marilah kita bulatkan tekad merealisasikan agenda Malaysia MADANI dengan menjadi landasan asasi mengangkat martabat insan, menegakkan keadilan, mempertahankan prinsip hidup benar dan meratakan kemakmuran serta menjamin keselamatan negara,” katanya dalam perutusan khas Aidilfitri.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan bahawa kesan konflik global berpotensi memberi tekanan kepada ekonomi negara, termasuk peningkatan harga minyak, harga barangan serta kos sara hidup.

Katanya, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat yang bakal terkesan dengan situasi tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar kembali menjiwai roh Ramadan dengan menghidupkan nilai keprihatinan dan semangat membantu golongan miskin serta memerlukan.

Mengambil pedoman daripada Surah Al-Isra ayat 26, beliau mengingatkan agar masyarakat menunaikan hak kepada golongan yang memerlukan serta mengelakkan pembaziran dalam berbelanja.

Beliau turut menegaskan bahawa Aidilfitri perlu disambut dengan penuh kesederhanaan dan keinsafan, di samping meningkatkan kepekaan terhadap nasib mereka yang kurang bernasib baik, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Dalam masa sama, beliau menyatakan keyakinan bahawa Malaysia mampu kekal optimis dengan kedudukan ekonomi semasa, sambil memberi jaminan bahawa kerajaan MADANI akan terus berusaha memperkukuh asas ekonomi negara walaupun berdepan cabaran global.

Mengakhiri perutusan, Anwar menyeru rakyat untuk terus bersatu hati, berusaha ke arah kebaikan serta memperkukuh nilai kemanusiaan demi masa depan negara yang lebih stabil dan sejahtera.

“Aidilfitri Mubarak, Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin,” katanya.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat