KUALA LUMPUR – Pas tiba-tiba membangkitkan isu Perdana Menteri mesti beragama Islam, mengapa isu ini ditimbulkan sedangkan negara sudah mempunyai institusi yang menjamin kedudukan Islam dalam negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu berkata, sejak kemerdekaan lagi sejarah telah membuktikan Perdana Menteri Malaysia sentiasa dilantik daripada kalangan pemimpin Melayu.
Menurut beliau, persoalan aneh ini langsung tidak relevan dengan perbahasan had penggal Perdana Menteri.
Hakikatnya, tindakan Pas ini merupakan percubaan untuk mengalih perhatian daripada reformasi yang sedang dibincangkan, kata Naib Presiden PKR itu lagi.
“Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal adalah satu reformasi penting yang memberi keuntungan kepada rakyat dan negara.
Had penggal ini memastikan peralihan kepimpinan yang lebih segar dan mengelakkan penumpuan kuasa yang berlebihan kepada mana-mana individu.
“Pihak yang akan menerima kesan secara langsung adalah Perdana Menteri Malaysia yang setakat ini datang dari Umno, Bersatu, dan kini PKR.
“Mengapa Pas ingin memperlekehkan reformasi ini? Semua pihak yang mendakwa berjuang untuk rakyat seharusnya menyokong reformasi institusi yang baik.
“Cadangan ini bukanlah perkara baru, Manifesto Barisan Alternatif pada tahun 1998 telah pun menyebut keperluan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal,” katanya.
Nik Nazmi menyatakan, ini menunjukkan cadangan ini bukan sekadar satu langkah politik semasa tetapi merupakan sebahagian daripada perjuangan reformasi yang telah lama diperjuangkan demi memastikan sistem pemerintahan yang lebih demokratik dan telus.
“Mengapa Pas yang dahulu juga sebahagian daripada Barisan Alternatif kini beralih arah dan cuba menolak cadangan ini?
“Seperti biasa, Pas tidak berminat untuk melakukan reformasi atau penambahbaikan institusi yang baik untuk rakyat. Sebaliknya, mereka cenderung untuk mempolemikkan setiap isu dan membakar sentimen kaum serta agama demi keuntungan politik,” kata Nik Nazmi.
Semalam Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman memberi isyarat bahawa parti itu bersedia berbincang dengan kerajaan mengenai cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri.
Beliau bagaimanapun berkata, perlulah menetapkan syarat tertentu sebelum ia boleh dibincangkan.
Dikenali dengan panggilan nama Syahirnomic di media sosial ekoran dianggap antara pakar ekonomi Pas, beliau berkata, pindaan yang akan dibawa itu mesti menetapkan bahawa seseorang perdana menteri yang dilantik mestilah beragama Islam.
“Perlembagaan: Hadkan (tempoh) perdana menteri hanya dua penggal boleh dibincangkan.
“Tetapkan (syarat) perdana menteri mestilah beragama Islam, boleh kita turut bincangkan,” katanya.