KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan beliau akan pertahan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti Mei ini.
Rafizi berharap pertandingan kali ini berlangsung secara sihat kerana masyarakat tidak mahu menonton ‘drama’ ketika parti harus fokus pada mentadbir negara.
“Saya akan bertanding, tetapi saya amat berharap kurang drama,” lapor FMT pada Khamis.
“Mari kita tumpu pada kerajaan, mari kita fokus kepada rakyat.
“Saya fikir rakyat tidak mahu lihat terlalu banyak drama daripada mana-mana parti politik,” katanya.
Pada 1 Feb lalu, setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin, dilapor berkata PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan timbalan presiden pada pemilihan kali ini.
Anwar juga merupakan presiden PKR.
Rafizi pertama kali terpilih untuk menjadi timbalan presiden pada pemilihan 2022, apabila menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau pernah menjadi naib presiden selepas 2014, dan bersaing dengan Datuk Seri Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden pada 2018 namun tewas.