Malaysia mohon Pendapat Nasihat ICJ mengenai isu Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berada di The Hague, Belanda untuk sesi pendengaran awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu Palestin.

Dalam satu kenyataan, pada Selasa, Mohamad berkata, beliau mengetuai delegasi Malaysia di ICJ berhubung permintaan untuk Pendapat Nasihat berkaitan kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur.

Mohamad dijadual menyampaikan kenyataan lisan Malaysia di Peace Palace di The Hague pada 22 Februari ini kira-kira 5.10 petang waktu tempatan atau 23 Februari kira-kira 12.10 tengah malam waktu Malaysia.

“Malaysia menyertai prosedur Pendapat Nasihat ini bagi membantu ICJ meneliti persoalan-persoalan perundangan yang telah dikemukakan oleh Perhimpunan Agung PBB,” katanya.

Menurutnya, permohonan untuk Pendapat Nasihat itu terhasil daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang diterima pakai pada 30 Disember 2022, dengan Malaysia menyokong dan menaja bersama resolusi berkenaan.

Katanya, Pendapat Nasihat adalah prosedur berasingan daripada permohonan Afrika Selatan bagi memulakan prosiding terhadap Israel, yang difailkan di ICJ pada 29 Disember 2023.

Beliau menegaskan walaupun permohonan Afrika Selatan difailkan atas dakwaan pencabulan oleh Israel terhadap kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid 1948 terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza khususnya sejak 7 Oktober 2023, Pendapat Nasihat itu diperoleh daripada permintaan oleh UNGA.

Menurut beliau, Pendapat Nasihat adalah satu proses penting bagi memperolehi nasihat perundangan daripada ICJ, badan kehakiman PBB, selaras dengan Artikel 96 Piagam PBB dan Artikel 65 Statut ICJ.

“Pendapat Nasihat memberi impak perundangan dan tanggungjawab moral yang besar serta menyumbang kepada pemahaman dan pembangunan undang-undang antarabangsa, yang boleh menjadi pemangkin keutuhan hubungan di antara negara,” katanya.

Ini adalah kali kedua Malaysia terbabit secara langsung dalam prosedur mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ bagi menyokong Palestin.

Pada 2004, Malaysia menyertai permohonan mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ mengenai Kesan Perundangan Pembinaan Tembok di dalam Wilayah Pendudukan Palestin, yang mana ICJ telah memutuskan bahawa tindakan Israel adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Menurut Mohamad, dalam prosiding Pendapat Nasihat kali ini, Perhimpunan Agung PBB mengemukakan beberapa persoalan perundangan bagi ICJ memberikan pendapatnya, termasuk kesan perundangan yang timbul akibat pencabulan berterusan oleh Israel terhadap hak rakyat Palestin bagi penentuan nasib sendiri (self-determination).

Juga, dasar dan tindakan oleh Israel yang memberi kesan terhadap status perundangan pendudukan Israel dan kesan perundangan yang timbul bagi semua negara dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebelum sesi pendengaran awam ini, Mohamad berkata, Malaysia menyertai prosiding bertulis dengan mengemukakan kenyataan bertulis kepada ICJ pada 25 Julai 2023.

Mohamad berkata, penyertaan dalam prosedur Pendapat Nasihat ini melambangkan usaha bersepadu Malaysia di pelbagai platform termasuk di Majlis Keselamatan PBB, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi menyokong Palestin dan membawa Israel ke muka pengadilan.

“Sebagai sebuah negara yang lantang memperjuangkan isu Palestin, kehadiran Malaysia di ICJ adalah penting untuk berganding bahu bersama-sama negara sepemikiran dalam mempertahankan isu-isu kemanusiaan sejagat.

“Ia juga adalah selari dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa bersuara lantang dalam mempertahankan hak rakyat Palestin di pelbagai platform antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, Anwar sentiasa menekankan tanggungjawab moral komuniti antarabangsa untuk menangani kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa, terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak.

Mohamad mengulangi pendirian teguh Malaysia bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

“Malaysia kekal komited, berdasarkan kemampuan dan keupayaannya, untuk mencari jalan penyelesaian yang berkekalan kepada konflik Palestin-Israel di semua platform antarabangsa,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa Malaysia akan sentiasa meneruskan usaha untuk memastikan Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat