KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan 2,500 motosikal termasuk kenderaan yang dipandu warga asing di seluruh negara sepanjang 20 hari Op Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) 2024.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, berkata daripada jumlah itu sebanyak 781 kenderaan disita kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah terutama tiada lesen memandu.
Beliau berkata, kebanyakan motosikal dan kenderaan ditahan itu ditunggang serta dipandu warga asing dari Myanmar, Bangladesh dan Pakistan.
“Selain itu JPJ turut keluarkan saman kepada warga asing kerana melakukan kesalahan memandu tanpa dokumen termasuk lesen memandu, motosikal dan kenderaan turut disita.
“Sebenarnya tindakan ini bukan saja dikenakan kepada warga asing, tetapi pemilik kenderaan warga tempatan yang menyewa dan membenarkan kenderaan digunakan mereka turut berdepan tindakan sama,” katanya selepas Operasi Khas TBC peringkat negeri, di Jambatan Sultan Mahmud, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin.
Lokman berkata, pihaknya memberi amaran dan mengingatkan pemilik kenderaan supaya tidak membenar, menyewakan serta menjual kenderaan kepada warga asing terutama yang tidak memiliki dokumen termasuk lesen memandu.
“Pemilik kenderaan yang didapati bersalah kerana membenar dan menyewakan kenderaan kepada warga asing serta gagal memenuhi tuntutan saman atau hadir ke mahkamah akan disenarai hitamkan,” katanya. – BH