KUALA LUMPUR – Development Alliance Sdn Bhd (GDA), konsortium yang diterajui oleh Khazanah Nasional, berjaya mengambil alih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) selepas menurunkan syarat penerimaan kepada 85 peratus daripada jumlah saham terbitan.
Konsortium itu telah memperoleh 86.51 peratus saham, membolehkannya mencapai matlamat untuk menswastakan syarikat tersebut.
AmInvestment Bank, mewakili pihak penawar, mengumumkan bahawa tarikh tutup penerimaan tawaran dilanjutkan sekali lagi, daripada 24 Januari 2025 kepada 4 Februari 2025.
Ini merupakan lanjutan kali ketiga selepas konsortium gagal memenuhi syarat asal sebanyak 90 peratus.
Walau bagaimanapun, harga tawaran sebanyak RM11 sesaham MAHB kekal tidak berubah.
Selepas pengambilalihan selesai, Khazanah Nasional akan memegang 40 peratus pegangan dalam konsortium, menjadikannya pemegang saham terbesar.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memiliki 30 peratus, sementara baki 30 peratus lagi akan dipegang oleh usaha sama antara Global Infrastructure Partners dan Abu Dhabi Investment Authority.
Saham MAHB digantung dagangan antara jam 9 pagi hingga 10 pagi. Selepas dagangan disambung, saham MAHB meningkat empat sen kepada RM10.94 sesaham pada jam 11.15 pagi, dengan 378,500 saham bertukar tangan.