Konsert Hanya Satu, Malam legenda Datuk Nora Ariffin yang penuh magis dan nostalgia

- Advertisement -

Di bawah sinaran lampu pentas PJ Performing Arts Centre (PJ PAC), sebanyak 700 penonton berkumpul untuk menyaksikan malam penuh emosi dan keajaiban dalam Konsert HANYA SATU oleh Datuk Nora Ariffin pada 18 Disember, Rabu yang bermula pada pukul 8.45 malam. Lebih daripada sekadar konsert, ia adalah penghargaan kepada perjalanan seni selama tiga dekad, dipenuhi dengan kenangan, kasih sayang, dan semangat seni yang tidak pernah luntur.

Malam yang epik ini dimulakan dengan penuh bertenaga menerusi lagu “Rentak Jantung”, yang memanaskan suasana dewan dengan sorakan gemuruh. Nora kemudian meneruskan persembahan dengan “Debaran” dan “Sandiwara”, membawa penonton mengimbau nostalgia awal kariernya. Lagu-lagu ini mengingatkan kita akan kehebatan Nora sebagai ikon muzik tanah air.

Segmen seterusnya menyentuh sisi emosi dan melankolik. Persembahan “Jentayu”, “Materialistik”, dan “Dendam Dalam Diam” memperlihatkan kepelbagaian gaya muzik Nora, diiringi dengan penghayatan penuh jiwa. Lagu-lagu ini menjadi penghubung emosi antara Nora dan para peminat setianya yang telah menemani beliau sejak tahun 1991.

Konsert berlanjutan dengan persembahan lagu-lagu terkenal lain seperti “Dipersimpangan Dilema”, “Joget Kelantan”, “Desa Tercinta”, dan “Menyemai Cinta Bersamamu”. Setiap lagu membawa penonton melalui pelbagai emosi – dari rasa rindu, kebanggaan, hingga semangat cinta yang tidak pernah pudar.

Segmen Tribut buat almarhum Johan Nawawi menjadi kemuncak yang penuh emosi. Menerusi lagu “Sabar”, “Naluri”, dan “Pinta”, penonton merasai kasih sayang dan penghormatan yang mendalam Nora terhadap insan yang banyak mencorakkan perjalanan seninya. Kejutan luar biasa hadir apabila teknologi animasi AI membawa Johan ‘kembali’ untuk berduet bersama Nora dalam lagu “Pinta”. Detik ini menyentuh hati penonton, membawa tangisan dan tepukan gemuruh.

Malam itu turut diwarnai dengan persembahan istimewa duet bersama anak-anak Nora, Iman, Dahlia, dan Fatehah, menerusi lagu “Selamanya Bahagia”. Persembahan ini memperlihatkan ikatan kasih sayang keluarga yang tidak tergugat oleh cabaran masa, sekaligus meneruskan legasi seni yang dimulakan oleh Nora.

Sebagai penutup, Nora mempersembahkan dua lagu ikoniknya, “Samudera” dan “Hanya Satu”. Lagu-lagu ini bukan sahaja menjadi penghormatan kepada perjalanan seninya tetapi juga simbol dedikasi dan cintanya terhadap seni muzik.

Dalam satu temu bual selepas konsert, Nora berkata: “Saya bersyukur atas kasih sayang dan sokongan peminat yang tidak pernah berhenti. Konsert ini adalah penghargaan buat mereka, buat keluarga saya, dan buat arwah suami yang sentiasa menjadi inspirasi dalam setiap langkah perjalanan seni saya. Malam ini, saya merasai cinta yang mendalam daripada semua yang hadir. Terima kasih atas kenangan indah ini.”

Konsert HANYA SATU bukan hanya sekadar persembahan tetapi satu perayaan kasih sayang, seni, dan kehidupan. Dalam setiap lirik yang dinyanyikan dan setiap nota yang dimainkan, jelas terpancar bahawa Datuk Nora Ariffin adalah legenda muzik tanah air – seorang yang suaranya tetap utuh, relevan, dan abadi.

author avatar
Fendi Ghafar
Venni Viddi Vinchi
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat