KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menerima sebarang keputusan MIC sekiranya parti itu memilih untuk keluar daripada gabungan parti politik berkenaan.
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN menghormati sepenuhnya pendirian dan keputusan yang akan dibuat MIC dan tidak akan mencampuri urusan dalaman parti tersebut.
“Kita terima dengan hati terbuka apa juga keputusan MIC. Itu hak mereka untuk tentukan hala tuju sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi China Global 2025, Kepimpinan & Perkongsian Global dalam Era Transformasi Digital dan Hijau di Wisma MCA lapor Utusan pada Rabu.
Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 baru-baru ini memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada kekal atau keluar daripada BN.
Namun, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran mengesahkan bahawa ketiga-tiga usul termasuk cadangan keluar BN telah diterima dan diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk diputuskan.
Mengulas cadangan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya perbincangan bersama MIC diadakan sebelum keputusan besar dibuat, Zahid menyifatkannya sebagai langkah wajar tetapi bukan syarat yang perlu dipatuhi.
“Itu pendekatan terbaik, tetapi keputusan tetap terpulang kepada parti berkenaan. Kita menghormati apa sahaja pilihan mereka,” katanya.
Semalam, Mohamad berkata, BN akan mengatur pertemuan dengan pimpinan tertinggi MIC bagi membincangkan kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan.
Timbalan Presiden UMNO itu juga yakin MIC akan membuat pertimbangan sewajarnya berhubung resolusi perwakilan yang membuka ruang kepada jajaran baharu, termasuk kemungkinan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).



