IPOH: Kerajaan negeri Perak akan memberikan bantuan sekali bayar sebanyak RM500 kepada 9,381 peniaga dan penjaja kecil bagi meringankan beban mereka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu sehingga 6 Dis ini.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata bantuan itu yang diluluskan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa Ke-4 (PRE Fasa 4) akan dibayar bulan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM4.7 juta.
“Ini adalah bantuan sekali bayar kali kedua kepada para peniaga dan penjaja kecil selepas kerajaan negeri menyalurkan bantuan tunai RM500 dalam PRE Fasa 2 sebelum ini.
“Di bawah PRE Fasa 4 ini, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak lebih RM9 juta bagi tujuan meringankan beban peniaga dan penjaja kecil serta para usahawan mikro di negeri Perak,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Selain itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri juga memberi pengecualian sewaan gerai makan milik 15 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Perak bagi bulan ini yang memberi manfaat kepada 10,335 peniaga dan penjaja kecil dengan peruntukan sebanyak RM1.63 juta.
Katanya, bagi membantu lebih ramai usahawan mikro yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19, kerajaan negeri juga bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM2.7 juta untuk Geran Prihatin Usahawan Perak (GeRUP).
“Sebelum ini, di bawah PRE Fasa 2, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membantu para usahawan mikro supaya terus kekal berdaya saing,” katanya.
Sebanyak 16 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan di Perak semalam, menjadikan jumlah kes semasa bagi tempoh 5 hingga 18 Nov sebanyak 420 kes.
– BERNAMA