Walau Diuji, Perjuangan Terus Dipertahankan – Hajiji Noor

KOTA KINABALU, — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan semangat dan perpaduan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal utuh meskipun dua parti telah memilih untuk meninggalkan gabungan tersebut.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau mengungkapkan semangat juang tinggi dengan peribahasa “patah galah bertongkat kaki, patah kaki bertongkat lutut, patah lutut bertongkat siku, patah siku bertongkat kuku”, menandakan bahawa perjuangan GRS tidak akan terhenti walaupun diuji pelbagai cabaran.

“Namun menyerah kalah tidak sekali! Walaupun dua parti telah memilih untuk keluar daripada gabungan, kekuatan dan perpaduan GRS tetap teguh,” katanya.

Menurut Hajiji, GRS tetap berdiri kukuh kerana perjuangannya berasaskan keikhlasan dan persahabatan tulen demi masa depan negeri Sabah.

Beliau menyeru seluruh jentera parti untuk menggandakan usaha mendekati rakyat, menyampaikan mesej perjuangan dan memastikan suara GRS sampai ke setiap penjuru negeri.

“Hari ini menandakan permulaan perjuangan besar untuk memastikan GRS terus memimpin negeri ini dengan kestabilan dan keyakinan,” ujarnya.

Hajiji turut menegaskan bahawa GRS kekal sebagai satu-satunya gabungan politik tempatan terbesar yang berjaya menyatukan pelbagai parti tempatan dengan matlamat memperjuangkan hak rakyat Sabah sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia.

“Tiada lagi gabungan sebesar GRS yang menyatupadukan parti-parti lokal dengan matlamat memperjuangkan hak orang Sabah.

Jangan biarkan negeri kita kembali ke tangan mereka yang gagal mentadbir dan berpolitik atas dasar dendam serta kepentingan peribadi,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa walaupun berdepan tomahan dan dugaan, semangat perjuangan GRS tidak akan goyah.

“Gunung yang tinggi tetap kita daki, lautan yang dalam tetap kita renangi. Jika kita bersatu, tiada kekuatan yang mampu menggugat perjuangan ini,” tambah Hajiji yang juga Pengerusi GRS.

Kenyataan itu dilihat sebagai mesej penting menjelang persiapan jentera GRS menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijadualkan pada 29 November depan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat