Hajat besar Zamani

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Besar harapan vokalis Slam, Zamani Ibrahim, 51, untuk bertemu peminat pada Konsert Doa Buat Zamani Unplugged yang bakal dipentaskan di Zepp Kuala Lumpur, akhir bulan depan.

Semuanya gara-gara Zamani yang menderita penyakit skoliosis yang menyebabkan tulang belakang membengkok, tidak pasti apa yang akan berlaku selepas dibedah, November depan.

Biarpun doktor menjelaskan risiko pembedahan yang dijangka mengambil masa antara lapan hingga 10 jam itu kecil, Zamani berhajat bertemu peminat selepas dia berehat panjang selepas prosedur itu.

“Saya berharap sangat dapat berkumpul dengan peminat setia pada malam itu. Konsert itu bukan untuk mengejar keuntungan, sebaliknya saya hanya mahu berkumpul dengan peminat kerana tidak tahu apa yang bakal terjadi selepas pembedahan.

“Seandainya sesuatu berlaku, sekurang-kurangnya saya puas hati kerana dapat berjumpa peminat,” katanya pada sidang media mengumumkan Konsert Doa Buat Zamani Unplugged di ibu negara, baru-baru ini.

Selain Zamani, konsert yang dijangka berlangsung dua jam pada 30 September depan, turut dijayakan Datuk Ramli Sarip, Fauziah Latiff dan Rahim Maarof serta penampilan istimewa, Datuk Aznil Nawawi.

Zamani berkata, konsert ‘unpluggged’ itu tidak dianjurkan secara terburu-buru, sebaliknya, dirancang sebelum Aznil melancarkan dana bagi menampung kos pembedahannya, Jun lalu.

Zamani menambah, dia lebih selesa mencari dana menampung kos pembedahan dan sara hidup melalui konsert berbanding membuka tabung bantuan.

Bagaimanapun, Zamani berterima kasih dan menghargai usaha Aznil yang berjaya mengumpul lebih RM100,000.

“Sejak awal lagi saya kurang selesa mewujudkan tabung bagi menampung kos pembedahan. Saya tidak mahu dilihat seperti meminta-minta.

“Sebaliknya, saya lebih suka menganjurkan konsert agar peminat boleh bersama-sama membeli tiket.

“Itu membuktikan peminat sayang dan terima saya. Tetapi jika mereka tidak dapat datang beri sokongan pada malam itu, tidak mengapa.

“Cukuplah doakan saya dari jauh,” katanya yang bakal mendendangkan enam lagu solo antaranya Syair Si Pari Pari, Nur Kasih dan Rindiani pada konsert itu.

Zamani berkata, kumpulan Slam tidak akan mengiringi persembahannya pada malam itu. Semuanya kerana Zamani enggan mengganggu persiapan kumpulan itu yang bakal mementaskan konsert ‘unplugged’, tahun depan.

“Pada asalnya kita bercadang bawa kumpulan Slam. Namun, disebabkan mereka akan terbabit dengan konsert tahun depan, saya tidak mahu ganggu.

“Buat masa ini, kami ada dua band yang akan mengiringi persembahan saya dan rakan-rakan pada malam itu. Namun, kami masih buat pilihan lain.

“Penonton bakal dihidangkan dengan 15 lagu saya dan rakan-rakan. Insya-Allah dewan mampu memuatkan kira-kira 1,400 penonton. Saya amat berharap tiket konsert habis dijual,” katanya.

Sementara itu, ditanya debaran menjalani pembedahan, dua bulan lagi, Zamani mengakui diburu kebimbangan. Namun, doktor memberi jaminan prosedur itu boleh berjaya 100 peratus.

 

Zamani berkongsi, Konsert Doa Buat Zamani Unplugged tidak dianjurkan secara terburu-buru, sebaliknya, dirancang sebelum Aznil melancarkan dana menampung kos pembedahannya, Jun lalu. - NSTP/Azhar Ramli
Zamani berkongsi, Konsert Doa Buat Zamani Unplugged tidak dianjurkan secara terburu-buru, sebaliknya, dirancang sebelum Aznil melancarkan dana menampung kos pembedahannya, Jun lalu. – NSTP/Azhar Ramli

 

Sebelum ini, gara-gara bimbang, Zamani menangguhkan pembedahan biarpun sudah menghidap penyakit tulang belakang bengkok sejak 2015.

“Pada 2015, saya diberitahu risiko yang bakal saya tanggung selepas pembedahan adalah 70 peratus duduk atas kerusi roda dan 30 peratus lagi berjaya.

“Disebabkan itulah itulah saya asyik tangguhkan pembedahan dan mencari rawatan alternatif,” katanya.

Terbaru, doktor memaklumkan kepadanya mengenai kaedah pembedahan terkini yang lebih efisien.

“Pakar tidak akan bedah, sebaliknya menebuk lubang pada bahagian terjejas… Insya-Allah peluang untuk pulih adalah 100 peratus.

“Selain itu, kaedah digunakan dapat mengurangkan pendarahan dan risiko kepada saraf. Proses sembuh juga tidak lama, iaitu dalam masa dua minggu saya diberitahu sudah boleh memandu.

“Namun, semuanya bergantung kepada antibodi,” katanya.

Bagaimanapun, Zamani berkata, kos pembedahan itu agak mahal iaitu antara RM80,000 hingga RM100,000.

Zamani berkata, jika boleh, selepas pembedahan, dia tidak mahu berehat lama kerana mengganggu kerja dan periuk nasinya.

“Jika antibodi lemah, proses untuk sembuh boleh mengambil masa hingga enam bulan,” katanya.

Zamani berkata, dia akan bekerja mengikut kemampuan kesihatan dan tidak mahu lasak kerana dikhuatiri memudaratkan dirinya.

“Pembedahan harus dilakukan kerana tulang sudah mencucuk ke rusuk, jantung dan paru-paru. Ini menyebabkan saya sakit sepanjang masa hingga perlu menelan ubat tahan sakit.

“Sebelum ini, skoliosis yang saya alami tidak sakit. Tetapi sejak tulang mula mencucuk rusuk, jantung dan paru-paru, saya tidak mampu lagi menahan sakit.

“Jadi, pembedahan harus disegerakan biarpun ia pilihan terakhir saya,” katanya.

Tiket Konsert Doa Buat Zamani Unplugged dijual pada harga RM238 bagi kategori Nur Kasih; RM288 (Rindiani); RM388 (Maria Mariana) dan RM499 (Kurnia).

* Tiket boleh dibeli melalui www.mytickets.asia sejak Rabu lalu.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat