KUALA LUMPUR – PKR sedang berusaha keras untuk memotong capaian media sosial Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan, partinya sedang mempergiat usaha dan penghasilan kandungan media sosial yang bermutu sebagai cetusan gelombang kempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Saya memberi tumpuan untuk meningkatkan kehadiran dan capaian PKR dan Pakatan Harapan (PH) di media sosial. Prestasi capaian media sosial PKR terus dipantau oleh Pengarah Komunikasi, Lee Chean Chung.
“Kami yakin capaian media sosial PKR akan memotong capaian Najib Razak dalam tempoh beberapa minggu lagi.
“Perkembangan-perkembangan baik ini (dari segi pengolahan isu dan capaian media sosial) kini membolehkan saya memberi tumpuan kepada taktik seterusnya, iaitu mewujudkan gelombang kempen di peringkat lapangan,” kata Rafizi dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau memaklumkan kempen PRU-15 PKR akan digerakkan bermula Sabtu, 20 Ogos ini.
Rafizi turut menyenaraikan beberapa taktikal pilihan raya yang akan diguna pakai oleh PKR.
“Antaranya, pengolahan isu yang berkesan untuk menarik minat dan meyakinkan pengundi dan mewujudkan gelombang kempen dengan menggerakkan jentera dan sukarelawan serta menguasai kempen digital dengan penghasilan kandungan media sosial yang bermutu secara tersusun.
“Setakat beberapa bulan yang lepas, saya telah memberi perhatian untuk mengolah kembali isu-isu nasional supaya PKR dan PH mengambil pendekatan lebih proaktif,” ujarnya.
Hal ini kata beliau, sebelum itu, PKR dilihat terlalu defensif dan membiarkan jentera propaganda UMNO memutar belit banyak perkara.