KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah dipilih sebulat suara oleh Perikatan Nasional (PN) sebagai calon Perdana Menteri kesembilan tapi bersyarat,” tegas Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menegaskan bahawa sokongan PN kepada Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO adalah bersyarat.
“Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, beliau (Ismail Sabri) hendaklah memastikan ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.
“Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan,” tegas Muhyiddin dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baru dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.
“Selaku Pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi PRU-15 apabila tiba masanya,” ujar Muhyiddin.
Jelas beliau lagi semua 50 ahli Dewan Rakyat dari parti-parti gabungan PN iaitu 31 ahli Dewan Rakyat Bersatu; 18 PAS dan 1 STAR telah menyerahkan akuan bersumpah ke Istana Negara semalam menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.
“Empat ahli Dewan Rakyat bebas pro-PN juga telah berbuat demikian.
“Selain itu saya juga berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan sama,” kata Muhyiddin.
Jelas Presiden Bersatu itu lagi, keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa pilihan raya bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.