KUALA LUMPUR — Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) buat julung kalinya akan menganjurkan Larian Keluarga Malaysia 2024 (LKM 2024) bertempat di Persiaran Flora, Cyberjaya pada 29 September 2024.
Pengerusinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga bekas perdana menteri itu berkata larian ini diadakan bagi mengumpul dana anak-anak yatim piatu yang kehilangan ibu, bapa atau ibu bapa atau penjaga akibat Pandemik COVID-19.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak RM 5 juta setahun kepada YKM.
“Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri sekarang. Kerana beliau telah pun bersetuju untuk menyumbangkan Sebanyak 5 juta setahun.
“YKM memerlukan kira-kira RM5 juta setahun untuk meneruskan bantuan kepada hampir 1,000 anak-anak yatim dan yatim piatu melalui Bantuan Kasih YKM, Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading dan Hadiah Kecemerlangan Akademik.
“Seperti Yang kita semua tahu Covid 19 memberikan kesan yang besar pada negara termasuk individu individu tertentu.
“Ada yang ibu bapa meninggal dan meninggalkan anak mereka sebagai anak yatim piatu. Jadi kehidupan mereka adalah amat sukar sekali,” katanya pada sidang media hari ini.
Tambahnya, LKM 2024 telah mendapat sokongan yang amat baik daripada banyak pihak khususnya mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang kini secara rasmi adalah Duta LKM 2024.
“Pemilihan Saudara Khairy sebagai Duta LKM 2024 bertepatan dengan penglibatan beliau yang aktif dalam sukan larian dan maraton termasuk pengalaman sebagai Menteri Belia dan Sukan.”
“Beliau juga memahami denyut nadi anak-anak ini kerana terlibat secara langsung dalam Kerajaan untuk menyelamatkan nyawa dan memastikan kehidupan rakyat dapat diteruskan ketika Pandemik COVID-19 melanda,” katanya.
Podcast Keluar Sekejap yang diterajui oleh Khairy dan Shahril Hamdan juga akan menjadi Podcast rasmi LKM 2024.
Untuk rekod, YKM menyasarkan penyertaan sebanyak 3,000 peserta khususnya golongan belia yang gemar kepada aktiviti larian dan gaya hidup sihat.
Orang ramai boleh melayari laman web rasmi YKM, https://yayasankeluargamalaysia.org.my/ atau laman web rasmi LKM 2024, https://lariankeluargamalaysia.com/ untuk pendaftaran dan hebahan terbaharu mengenai larian ini.
Tarikh akhir pendaftaran LKM 2024 adalah pada 7 September 2024.
YKM amat mengalu-alukan tajaan dan sokongan dalam pelbagai bentuk daripada semua pihak khususnya syarikat-syarikat korporat.
Setiap sumbangan yang diberikan kepada YKM dan LKM layak mendapat pengecualian cukai daripada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).