KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas beberapa barangan import terpilih, termasuk buah-buahan akan dinilai semula.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ia mengambil kira beberapa barangan tertentu seperti epal dan limau Mandarin yang tidak dihasilkan secara domestik, sebaliknya bekalan buah berkenaan diimport sepenuhnya dari luar.
“Saya berpandangan munasabah untuk (kadar baharu SST ke atas barangan tertentu) dilihat semula. Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi sedang meneliti perkara ini,” katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), lapor BH di Bangi pada Khamis.
Sebelum ini, Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin Mohamed dilapor menganggap langkah kerajaan mengenakan SST ke atas buah import sebagai ‘tidak masuk akal’ memandangkan barangan itu turut digunakan rakyat berpendapatan rendah.
Zahid berkata, pandangan dikemukakan Ameer Ali berhubung perkara berkenaan perlu dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri, mengambil kira beberapa keperluan rakyat terhadap buah import.
“Hasil cukai buah kepada negara pun tidak begitu tinggi, jadi kalau dikenakan SST, maka harganya akan meningkat. Saya tahu tujuannya (SST ke atas buah import) adalah untuk melindungi buah tempatan, tetapi kita tidak mengeluarkan epal dan limau Mandarin,” katanya.