KUALA LUMPUR – ConocoPhillips menyatakan komitmen berterusan syarikat itu terhadap pelaburan di Malaysia, termasuk penglibatan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kluster Kebabangan (KBBC PSC) di Sabah, yang dikendalikan melalui anak syarikatnya, ConocoPhillips Sabah Gas Ltd, bersama rakan strategik iaitu Petronas.
Komitmen ConocoPhilips itu dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ConocoPhillips Ryan Lance di Pejabat Perdana Menteri, petang semalam.
“Petang semalam saya menerima kunjungan hormat daripada Ryan Lance, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ConocoPhillips, sebuah syarikat minyak terkemuka dari Amerika Syarikat yang terlibat dalam aktiviti penerokaan, pembangunan dan pengeluaran minyak di peringkat global, termasuk di Malaysia.
“Dalam pertemuan ini, saya menegaskan bahawa Kerajaan Madani komited dengan dasar yang jelas dan mesra pelabur bagi memastikan keyakinan syarikat-syarikat besar seperti ConocoPhillips untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan jangka panjang.
“ConocoPhillips turut menyatakan komitmen berterusan mereka terhadap pelaburan di Malaysia, termasuk penglibatan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kluster Kebabangan (KBBC PSC) di Sabah, yang dikendalikan melalui anak syarikatnya, ConocoPhillips Sabah Gas Ltd, bersama rakan strategik iaitu Petronas,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Menurut beliau lagi, kehadiran dan pelaburan syarikat-syarikat utama seperti ConocoPhillips amat penting dalam menjamin kestabilan serta kemampanan tenaga negara.
“Ia juga berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam sektor minyak dan tenaga,” ujarnya.