KUALA LUMPUR – Armada Bersatu mengecam tindakan kerajaan menyiasat Ketua Pemuda MCA Pahang Wong Siew Mun, di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia hanya kerana bertanya soalan berkenaan isu penggunaan data peribadi rakyat oleh kerajaan.
Naib Ketua Armada Bersatu Faiz Rahmad berkata, video yang dimuat naik oleh Siew Mun memetik sumber terbuka termasuk laporan media antarabangsa dan kenyataan kerajaan sendiri tetapi beliau kini disiasat dan telefon bimbitnya dirampas.
Bidas Faiz, ini adalah satu lagi bukti jelas bahawa kerajaan hari ini semakin takut kepada suara rakyat, lebih-lebih lagi suara anak muda yang berani bertanya.
“Lebih membimbangkan, inilah kerajaan yang dahulunya kononnya memperjuangkan kebebasan bersuara, tetapi kini bertindak seolah-olah kebenaran itu satu jenayah.
“Ini bukan sahaja hipokrasi, tetapi satu pengkhianatan terhadap prinsip demokrasi yang mereka sendiri pernah laung-laungkan.
“Justeru Armada Bersatu menegaskan bahawa bersuara bukan satu kesalahan, bertanya bukan satu jenayah.
“Anak muda tidak boleh dibisukan hanya kerana mereka tidak tunduk kepada naratif pemerintah. Jika rakyat disiasat kerana bertanya, maka yang lebih perlu disiasat adalah kerajaan yang cuba menyembunyikan jawapan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Faiz berkata Armada berdiri teguh bersama Wong Siew Mun dan mana-mana anak muda yang berani menyuarakan kebenaran.
“Kami tidak akan berdiam diri apabila suara rakyat cuba dibungkam atas nama “undang-undang”, sedangkan yang sebenar dibimbangi ialah kesedaran rakyat yang semakin celik,” tegasnya.