KUALA LUMPUR – Kedutaan Indonesia di Malaysia menggesa agar rakyatnya yang tinggal secara haram atau tidak mempunyai permit agar segera mengikuti program balik kampung.
Duta Besar Indonesia di Malaysia iaitu Hermono mahu Program Repatriasi Migran 2.0 yang akan bermula hari ini dimanfaatkan dengan baik oleh rakyatnya.
“Saya harap, teman-teman yang selama ini ‘kosong’ (ilegal), (menjadi) PATI (pendatang asing tanpa izin) di Malaysia, betul-betul dapat memanfaatkan program ini secepat mungkin,” kata Hermono.
Kedutaan Indonesia turut mengingatkan warga Indonesia yang bekerja di negara luar terutamanya supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh negara berkenaan.
Kerajaan Malaysia memutuskan untuk meneruskan Program Repatriasi Migran 2.0 yang berlangsung dari 19 Mei 2025 hingga 30 Mei 2026 khas untuk Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata program itu tidak terpakai kepada PATI yang mendaftar untuk program serupa tahun lepas tetapi tidak keluar dari Malaysia.
PATI yang menyertai program tersebut akan dikenakan denda RM500 bagi kesalahan masuk dan berada di Malaysia tanpa dokumen permit kediaman yang sah dan kesilapan tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan dalam dokumen visa atau imigresen.
Sementara itu, mereka yang melanggar syarat dokumen imigresen akan dikenakan denda RM300.