KUALA LUMPUR,- ARMADA hari ini membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, yang meremehkan peluang BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) untuk menawan semula kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dalam pilihan raya negeri akan datang.
Ketua Penerangan ARMADA, Harris Idaham Rashid, dalam satu kenyataan media menegaskan bahawa rakyat Melaka kini lebih matang dan tidak lagi terikat dengan sentimen lama, sebaliknya mahu pemimpin yang fokus kepada penyelesaian masalah, bukannya mencetuskan konflik politik dalaman.
“Rakyat Melaka sudah muak dengan polemik terbuka antara Akmal dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) berhubung isu agihan kerusi. Rakyat mahu pemimpin yang bukan hanya mempertikai dan cari gaduh, tetapi pemimpin yang membawa solusi,” kata Harris.
Mengulas kenyataan Akmal yang mempertikaikan kekuatan BERSATU di Melaka, Harris mengingatkan bahawa perubahan besar telah berlaku sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021, termasuk pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik pengundi yang dijangka mengubah lanskap politik negeri itu secara drastik.
“Jangan terlalu selesa dengan mandat 2021. PRU15 sudah membuktikan PN mampu bangkit semula di Melaka apabila berjaya menawan kerusi-kerusi Parlimen strategik termasuk Jasin, kawasan yang dipimpin sendiri oleh Akmal sebagai Ketua Bahagian UMNO,” tambahnya.
Dalam kenyataan itu, ARMADA turut menegaskan bahawa PN merupakan sebuah gabungan yang lebih tersusun dan harmoni berbanding kerjasama rapuh antara PH dan BN. PN, jelasnya, tidak akan berlaku perebutan kerusi sesama sendiri seperti yang kini berlaku dalam kem PH-BN.
Perikatan Nasional tidak mencabar rakan komponen sendiri untuk bertanding di kerusi yang sama. Kita bergerak sebagai satu gabungan kukuh di bawah satu payung berbeza dengan campuran longgar PH+BN yang sering bertelagah secara terbuka,” katanya lagi.
Kenyataan itu dilihat sebagai isyarat awal bahawa PN bersedia memberi saingan sengit di Melaka, khususnya dalam suasana politik yang dilihat semakin tidak stabil di blok kerajaan campuran ketika ini.