LOS ANGELES — Tesla kini berdepan tindakan saman berkelompok (class action) yang mendakwa syarikat itu dengan sengaja mempercepatkan bacaan odometer kenderaan elektrik keluarannya, bagi memastikan tempoh waranti tamat lebih awal dan mengelak daripada menanggung kos pembaikan.
Memetik laporan Reuters, plaintif Nyree Hinton, seorang penduduk Los Angeles, mendakwa bahawa odometer Model Y 2020 miliknya mencatat bacaan 15% lebih laju berbanding jarak sebenar yang dipandu.
Hinton membeli kenderaan itu pada Disember 2022 dengan bacaan 36,772 batu, namun berkata kenderaan itu merekodkan purata perjalanan harian sebanyak 72 batu, sedangkan dia hanya memandu sekitar 20 batu sehari.
Akibatnya, katanya, waranti asas sejauh 50,000 batu tamat jauh lebih awal daripada sepatutnya, menyebabkan beliau perlu menanggung kos pembaikan sistem suspensi sebanyak $10,000, yang menurutnya sepatutnya ditanggung Tesla.
“Dengan mengaitkan had waranti dan had batuan sewaan kepada bacaan odometer yang dinaikkan, Tesla meningkatkan pendapatan pembaikan, mengurangkan obligasi waranti, dan memaksa pengguna membeli waranti lanjutan lebih awal,” dakwa Hinton dalam dokumen mahkamah.
Tesla belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai dakwaan ini dan tiada wakil media syarikat tersedia untuk memberi komen. Namun, Tesla sebelum ini menafikan semua dakwaan material dalam saman tersebut.
Saman ini boleh memberi kesan kepada lebih 1 juta pemilik kenderaan Tesla di California, bergantung kepada keputusan mahkamah sama ada ia dibenarkan sebagai tindakan berkelompok.
Menurut Reuters, syarikat itu turut berdepan dakwaan terdahulu berkaitan isu jarak perjalanan (driving range) yang dikatakan terlebih iklan. Dalam kes berasingan pada Mac 2024, hakim persekutuan di Oakland memutuskan bahawa pemandu perlu membawa kes mereka secara arbitrasi individu, bukan sebagai tindakan berkelompok.