TAPAH, 19 April – MIC menjangkakan hampir 3,000 pengundi kaum India akan menyokong calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri M. Saravanan berkata keyakinan itu berdasarkan gerak kerja berterusan jentera BN di Tapah yang aktif menyantuni rakyat tanpa mengira musim pilihan raya.
“Kita tidak tunggu musim pilihan raya untuk bekerja, kalau ada masalah banjir kilat, jalan rosak atau sekolah perlu bantuan, kita akan turun padang,” katanya ketika ditemui Bernama.
Tambah beliau, semangat kerjasama yang utuh antara komponen BN seperti MIC, UMNO dan MCA menjadi tonggak kekuatan Parlimen Tapah sebagai kubu kuat BN.
“Semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat India, Melayu dan Cina terbukti apabila dalam PRU15 lalu, ketiga-tiga calon BN diberi mandat oleh rakyat,” katanya.
Untuk rekod, Parlimen Tapah kini diwakili Saravanan (MIC), manakala dua kerusi DUN di bawahnya iaitu Ayer Kuning dan Chenderiang, sebelum ini masing-masing disandang Allahyarham Ishsam Shahruddin (UMNO) dan Choong Shin Heng (MCA).
Saravanan turut menjelaskan bahawa keserasian antara komponen parti di Tapah membolehkan isu-isu tempatan diselesaikan secara kolektif dan pantas.
Beliau turut optimis peluang BN kali ini lebih cerah apabila turut dibantu oleh jentera Pakatan Harapan (PH) menerusi gabungan Kerajaan Perpaduan, sekali gus mampu meraih undi lebih besar buat calon BN.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.
Pilihan raya ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan:
• Mohamad Yusri Bakir (BN)
• Abd Muhaimin Malek (PN)
• Bawani KS (PSM)
DUN Ayer Kuning memiliki 31,897 pengundi berdaftar, terdiri daripada:
• 56% pengundi Melayu
• 22% pengundi Cina
• 14% pengundi India
• 8% lain-lain kaum