Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad menghormati keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Setiawangsa walaupun tewas kepada pengarah dan pelakon terkenal, Afdlin Shauki dalam perebutan jawatan Ketua Cabang.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, Nik Nazmi menegaskan bahawa proses pemilihan yang telus dan adil adalah asas kekuatan PKR sebagai sebuah parti reformasi, namun mengakui terdapat beberapa isu yang perlu dibangkitkan.
“Kami percaya terdapat beberapa isu yang wajar dibangkitkan dan akan menggunakan saluran serta proses parti yang sewajarnya untuk menyuarakan perkara tersebut,” katanya.
Tambah beliau, komitmennya terhadap prinsip integriti dan keadilan dalam proses parti tetap utuh, dan beliau menghargai semua pihak yang telah memberikan sokongan sepanjang tempoh kempen.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penyokong, jentera, dan ahli parti yang telah bersama-sama berkempen serta memberikan sokongan. Sokongan anda semua amat saya hargai dan akan terus menjadi kekuatan saya dalam meneruskan perjuangan reformasi,” katanya lagi.
Nik Nazmi turut menegaskan bahawa beliau akan membiarkan proses rayuan berjalan mengikut ruang yang ditetapkan oleh parti dan menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat serta meneruskan perjuangan dalam KEADILAN di semua peringkat.
Dalam pemilihan cabang yang berlangsung, Afdlin Shauki memperoleh 631 undi berbanding Nik Nazmi yang mendapat 563 undi.