Kes Jubah Seakan KKK: KPT Minta Pendekatan Pengajaran UiTM Dikaji Semula

- Advertisement -

PETALING JAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) agar mengkaji semula pendekatan pedagogi atau kaedah pengajaran dalam kursus-kursus tertentu, susulan insiden tular melibatkan pelajar UiTM Dengkil baru-baru ini.

Menteri KPT, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata semakan semula ini penting untuk memastikan kaedah pengajaran tidak menimbulkan sensitiviti masyarakat, terutamanya apabila melibatkan tugasan akademik yang melibatkan elemen visual atau simbolik.

Insiden yang dimaksudkan merujuk kepada beberapa foto tular memaparkan pelajar UiTM Kampus Dengkil mengenakan jubah yang menyerupai pakaian kumpulan ekstremis Ku Klux Klan (KKK), yang menimbulkan kecaman di media sosial.

Menurut Zambry, pihak kementerian menyerahkan kepada UiTM untuk memberikan penjelasan kepada masyarakat dan mengurus situasi tersebut dengan profesional.

“Mereka lebih maklum apa perkara yang boleh, sebab itu UiTM membuat penjelasan kerana benda itu berlaku di situ (kampus bawah UiTM),” katanya kepada media.

“Kalau menteri hendak masuk campur semua hal, itu perkara tidak matang… paling mustahak, apabila ada perkara dimainkan, menjadi tanggungjawab UiTM untuk menjelaskan kepada masyarakat kerana ada pihak membuat interpretasi.”

UiTM kemudiannya menjelaskan bahawa pemakaian kostum yang mencetuskan kontroversi itu adalah sebahagian daripada tugasan pelajar untuk kursus Contemporary Global and Legal Issues di bawah Pusat Asasi UiTM.

Zambry berkata, pendekatan pengajaran bersifat emersif atau pembelajaran melalui pengalaman visual bukan perkara baharu dan pernah digunakan sebelum ini, contohnya dalam isu aparteid.

“Ada program dibuat dalam bentuk pelbagai yang dikatakan sebelum ini, contohnya berkaitan isu aparteid yang mereka buat dalam bentuk sama. Tetapi waktu itu tidak dimainkan dan menimbulkan sensitiviti dalam kalangan tertentu.”

Bagaimanapun, beliau menegaskan perlunya pendekatan menyeluruh dalam menilai isu ini dan tidak hanya bergantung kepada satu sudut pandang sahaja.

Zambry membuat kenyataan itu ketika menghadiri Forum Ilmuan Malaysia MADANI siri lima yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat