PETALING JAYA – DAP Pahang menyatakan kesediaan untuk menjadi pengantara antara kerajaan negeri dan pekebun durian di Raub bagi menyelesaikan isu pencerobohan tanah secara harmoni, susulan perhatian yang diberikan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap isu berkenaan.
Dalam kenyataan yang dipetik oleh Free Malaysia Today (FMT), DAP Pahang menyokong penuh titah Tuanku ketika merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam dan mengakui bahawa terdapat pekebun yang telah meneroka tanah secara tidak sah sejak beberapa dekad lalu.
Namun begitu, mereka menegaskan bahawa industri durian Musang King di Raub kini telah berkembang menjadi jenama antarabangsa yang berpotensi tinggi dalam menjana ekonomi negeri.
“Pekebun durian berhasrat memberi kerjasama kepada kerajaan Pahang bagi bersama-sama membangunkan industri durian ini ke tahap lebih tinggi dan turut menjana ekonomi negeri,” menurut kenyataan itu.
DAP Pahang turut menawarkan diri untuk memainkan peranan sebagai penghubung antara pihak berkuasa dan pekebun dalam usaha mewujudkan ruang rundingan konstruktif demi mencari jalan penyelesaian yang baik dan berpanjangan.
“Ia bagi meningkatkan hasil kepada kerajaan negeri serta memastikan sektor pertanian di seluruh negeri dapat diurus secara tersusun dan mampan demi kesejahteraan semua pihak,” tambah mereka.
Parti itu juga menegaskan sokongan terhadap prinsip bahawa urusan berkaitan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, Sultan Pahang bertitah supaya isu pencerobohan tanah yang melibatkan lebih 14,000 hektar tanah kerajaan – termasuk kawasan yang diusahakan secara haram dengan tanaman seperti durian, sawit dan getah – diselesaikan segera.