Raja Petra Dakwa SPRM Siasat Mohd Nazlan, Hakim Kes Najib Razak

KUALA LUMPUR – Blogger Raja Petra Kamarudin mendakwa hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Raja Petra dalam portalnya Malaysia Today pada Selasa, Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaunnya.

Dakwa beliau, wang itu masuk ke dalam akaun bank Nazlan ketika beliau menjawat jawatan setiausaha syarikat dan ketua penasihat undang-undang kumpulan Maybank.

“Minit mesyuarat 1MDB mendedahkan bahawa cadangan untuk menubuhkan SRC datangnya daripada Maybank dan bukan daripada Najib, seperti yang dinyatakan hakim Nazlan dalam penghakiman bertulisnya tentang mengapa beliau mendapati Najib bersalah.

“Dalam penghakimannya, Nazlan berkata Najib menubuhkan SRC sebagai cara untuk mencuri wang 1MDB. Kini terbongkar bahawa cadangan penubuhan SRC datangnya daripada Maybank dan bukannya idea Najib. Kronologi ini direkodkan dalam minit mesyuarat 1MDB,” tulis Raja Petra dalam portalnya.

Hal demikian, beliau mendakwa lagi, penghakiman Nazlan adalah cacat.

Ujar Raja Petra, fakta bahawa Nazlan menggunakan hujah ini sebagai salah satu sebab untuk menunjukkan Najib bersalah menimbulkan dakwaan perbicaraan yang cacat.

“Bukan sahaja dicemari oleh konflik kepentingan Nazlan tetapi juga menjadi alasan mengapa penghakiman mendapati Najib bersalah.

“Dikatkan wang tunai berjumlah RM1,036,127.40 yang masuk ke akaun Nazlan adalah sebahagian daripada RM2 juta yang diterima daripada Jho Low untuk “services rendered”.

“Apakah perkhidmatan ini dan memandangkan Jho Low dikaitkan dengan 1MDB adakah ini tidak menimbulkan konflik kepentingan yang serius? Soalnya.

Raja Petra menambah, sewaktu yuran “serviced rendered” diberikan menjadikannya mustahil untuk menafikan sebarang konflik kepentingan.

Tarikh itu bertepatan dengan tarikh pinjaman RM6.17 bilion 1MDB dan keputusan yang dibuat oleh 1MDB berkenaan pengambil alihan Tanjung Energy Holdings Sdn Bhd, katanya.

Susulan itu, Raja Petra mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera ke atas Nazlan untuk menjelaskan wang RM2 juta yang diterimanya daripada Jho Low.