Polis berjaya berkas pencuri kabel MRT Laluan Putrajaya

Oleh Zihan Zari

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan empat suspek yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel MRT Laluan Putrajaya menerusi satu operasi yang dijalankan baru-baru ini.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan berkata kejayaan tangkapan tersebut adalah hasil maklumat risikan serta intipan yang digerakkan secara bersama oleh Unit Polis Bantuan Prasarana serta pasukan PDRM daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.

“Kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun itu, telah dibawa ke lokasi kejadian bagi tujuan pengecaman dan membantu siasatan berkaitan barang kes yang ditemui.

“Tangkapan tersebut dibuat susulan laporan polis yang dikemukakan oleh Prasarana berhubung kejadian kecurian kabel yang berlaku berhampiran Stesen MRT Sri Damansara Barat pada 3 Mac lalu.

“Insiden berkenaan telah menyebabkan gangguan kepada operasi perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari sekali gus menimbulkan kesulitan kepada ribuan pengguna pengangkutan awam kendalian Prasarana,”kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata kerjasama erat antara Unit Polis Bantuan Prasarana dan PDRM akan terus diperkukuhkan melalui usaha pemantauan, intipan serta perkongsian maklumat secara berterusan bagi memastikan kegiatan kecurian kabel dapat dibanteras sepenuhnya.

Beliau turut merakamkan ucapan syabas dan penghargaan kepada pasukan PDRM dari
IPK Selangor atas tindakan pantas dan profesional dalam memberkas suspek serta membantu mempercepatkan proses siasatan.

Ujarnya, Prasarana pada masa sama akan terus memperkukuhkan langkah keselamatan di sepanjang jajaran MRTLaluan Putrajaya termasuk meningkatkan rondaan keselamatan, pemantauan serta kerjasama strategik dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan infrastruktur pengangkutan awam sentiasa terpelihara.

“Prasarana menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan kemudahan pengangkutan awam negara, ”ujarnya lagi.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat