KUALA LUMPUR – Seramai 100,000 orang rakyat Sabah bakal menerima manfaat Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) menerusi pemberian bantuan tunai sebanyak RM300 sebulan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata program terbabit menyediakan bantuan tunai setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga 31 Disember ini.
Katanya, penerima bagi program ini membabitkan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih setakat 31 Disember tahun lalu.
“Alhamdullilah Bantuan Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) telah secara rasminya dilancarkan hari ini. Saya juga mahu usaha berterusan dilaksanakan di lapangan dalam memastikan mereka yang tercicir dan layak mendapatkan bantuan ini tapi tidak berdaftar dalam Pangkalan Data Negeri Sabah atau PADANS boleh mengemukakan aduan kepada Ketua Kampung atau Pegawai MySMJ Profiler yang telah ditempatkan di semua pejabat daerah di negeri ini.
“Selain itu, sebagai tambahan saya juga ingin maklumkan bahawa kerajaan negeri akan melaksanakan satu lagi program baharu selain daripada program SYUKUR ini untuk membantu meringankan beban rakyat, pada tahun ini, Insya- Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Amaun pembayaran bagi program ini akan dibayar secara berfasa dengan setiap fasa adalah di bayar secara “lump-sum” bagi tempoh tiga bulan iaitu sebanyak RM900 yang akan dikreditkan ke akaun kepada mereka yang mempunyai akaun dan kepada penerima bantuan secara tunai.
“Antara objektif SYUKUR ialah untuk meringankan beban kewangan penerima bagi memenuhi keperluan asas mereka; menyokong golongan yang memerlukan agar dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa.
“Selain itu, mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah menerusi bantuan berterusan; dan sebagai tanda prihatin dan kasih kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya.
Bagi pembayaran fasa pertama (Januari sehingga Mac 2025) diagihkan bermula Februari, manakala fasa kedua (April sehingga Jun 2025), diagihkan bermula April; fasa ketiga (Julai sehingga September 2025) diagihkan bermula September 2025 dan fasa keempat (Oktober sehingga Disember 2025) diagihkan pada Oktober 2025.