“Cakap Banyak Tak Guna” – Afdlin Kekal Tenang ,SPRM Sahkan Tiada Unsur Jenayah

- Advertisement -

 

KUALA LUMPUR – Penerbit, pengarah, dan pelakon Datuk Afdlin Shauki menzahirkan rasa syukur selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa tiada unsur jenayah dalam dakwaan salah laku membabitkan projek bernilai RM4 juta di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikaitkan dengan dirinya sebelum ini.

Afdlin, 53, berkata sejak awal, beliau memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai dakwaan tersebut bagi mengelakkan fitnah terus berpanjangan.

“Segala puji untuk ALLAH SWT yang telah menegakkan keadilan. Cakap banyak tidak guna sebab kalau orang tidak suka kita, dia akan terus panjangkan fitnah ini.

“Atas sebab itu saya mengambil keputusan untuk duduk diam dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa agar tidak mengganggu siasatan,” katanya menerusi kenyataan di media sosialnya.

 

Tambahnya, beliau sentiasa yakin berada di pihak yang benar dan mengambil pendekatan untuk tidak melatah sepanjang siasatan berlangsung.

“Saya tidak melatah kerana yakin saya tidak melakukan apa-apa kesalahan, tetapi tidak guna saya yang cakap. Biarlah pihak berkuasa yang menentukan.

“Cuma hari ini saya kenal siapa sahabat saya dan siapa bukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Afdlin turut mengucapkan terima kasih kepada isteri, anak-anak, keluarga, serta rakan-rakan yang memberikan sokongan moral sepanjang beliau menghadapi ujian ini.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa yang telah menjalankan siasatan secara terperinci sehingga namanya tidak lagi dikaitkan dengan isu berkenaan.

Selain itu, Afdlin turut memberi respon kepada pihak yang menyebarkan tuduhan terhadapnya.

“Kepada yang memanjangkan fitnah ini saya berdoa yang baik-baik untuk anda semua agar ALLAH SWT memaafkan kita semua.

“Saya doakan ALLAH lembutkan hati pemfitnah itu,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa hasil semakan terhadap dokumen yang dibekalkan oleh DBKL pada 7 Februari lalu mendapati tiada elemen jenayah dalam dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat DBKL yang dikaitkan dengan projek penerbitan kandungan dan siaran studio serta konti radio DBKL.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat