Usahakan TVET: Zahid dianugerah Ijazah Kedoktoran Kehormat Kejuteraan di Jepun

- Advertisement -

TOKYO- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat Kejuruteraan daripada Institut Teknologi Shibaura (SIT).

Ini sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pengukuhan kerjasama pendidikan teknikal Malaysia-Jepun.

Penganugerahan itu juga berikutan usaha berterusan Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bagi memastikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) terus menjadi platform meningkatkan kemahiran pelajar serta pengukuhan jalinan kerjasama industri kedua-dua pihak.

Ijazah Kedoktoran Kehormat berkenaan disampaikan oleh Presiden SIT Prof Jun Yamada kepada Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara di pusat pengajian berkenaan di Tokyo, lapor Bernama.

Dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Zahid yang dalam rangka lawatan kerja tujuh hari ke Jepun bermula Jumaat lepas, berkata pengiktirafan itu akan memberikannya dan seluruh pasukan di bawah Majlis TVET Negara untuk berusaha lebih kuat dalam menjadikan program serta ekosistem TVET Malaysia lebih berkualiti dan berdaya saing.

“Saya juga percaya pengiktirafan di peringkat antarabangsa ini penting sebagai asas jaminan bahawa TVET bukan lagi pilihan kelas kedua, malah menjadikannya pilihan kerjaya utama dan menjaminkan gaji premium serta lumayan sekali gus dapat mengubah persepsi masyarakat dalam memartabatkan TVET di Malaysia,” katanya.

Terdahulu pagi tadi, Zahid menerima watikah pelantikan sebagai Presiden Pertubuhan Kemajuan Industri, Kerohanian dan Budaya (OISCA) Antarabangsa bagi Cawangan Malaysia, iaitu sebuah pertubuhan antarabangsa memfokuskan promosi jalinan kerjasama antarabangsa dalam pelbagai bidang.

Pelantikan Zahid itu disempurnakan Presiden OISCA Antarabangsa Nakano Etsuko di National Diet Building.

OISCA Antarabangsa mengiktiraf program perantisan industri di Jepun dengan menganugerahkan pelajar Malaysia Diploma Dalam Latihan Industri selepas mereka menamatkan program pembelajaran.

Hal ini akan memberi peluang kepada belia Malaysia untuk menimba pengalaman berharga, serta meningkatkan kebolehpasaran dan nilai pasaran mereka.

Sementara itu, Zahid berkata pihak OISCA dalam mesyuarat tadi bersetuju untuk menyediakan tempat bagi Program “Industrial Internship Training” dan juga menjadi platform kepada laluan kerjaya bagi graduan yang berminat untuk bekerja di lebih 5,000 rakan industri OISCA di Jepun.

“Malah, pihak bandar raya Yokohama turut sama menyediakan Program “Yokohama Internship and Job Placement” bagi membuka peluang kepada graduan TVET di Malaysia untuk membina kerjaya bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat global.

“Usaha-usaha ini akan dirangkum bagi menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan Dasar TVET Negara yang dijadualkan untuk pelancarannya pada Jun 2024,” katanya.

Malaysia ketika ini mempunyai 1,345 institusi TVET, dengan kadar kebolehpasaran 92.5 peratus untuk graduan TVET. Rangka kerja itu akan menjadi garis panduan untuk program TVET di seluruh negara dan kemudian disesuaikan untuk memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata dasar itu juga kelak akan digubal bagi meningkatkan kebolehpasaran serta daya saing tenaga kerja di samping meletakkan asas untuk pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara yang mampan.

Zahid berkata susulan daripada pertemuan hari ini, beliau telah mengarahkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi menjenamakan dan memperkasakan semula Malaysia-Japan Institute (MJI) di bawah UniKL dan seterusnya menjadi peneraju utama dalam pemerkasaan TVET negara khususnya bersama pihak berkepentingan di Jepun.

“Jalinan kerjasama TVET Malaysia-Jepun turut akan diperkukuh dengan penglibatan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam menghasilkan penawaran modal insan terbaik di dalam bidang ini,” katanya.

Turut mengiringi Zahid dalam lawatan kerja ke Jepun ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkaitan serta wakil institusi pengajian tinggi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat