Rumah Bangsa hanya dapat direalisasi jika Umno kembali jadi parti marhaen – Hasmuni

KUALA LUMPUR – Umno mengakui kelemahan silam, namun memilih untuk membaiki rumah pusaka yang telah teruji lebih 70 tahun, berbanding membina pondok baharu yang rapuh.

Ahli Majlis Kerja Tetinggi (MKT) Umno Datuk Hasmuni Hassan berkata, bagi merealisasikan Rumah Bangsa, Umno mesti kembali menjadi “parti marhaen”, meninggalkan sikap elitis dan mengamalkan minda tuan rumah.

“Kepimpinan perlu membesarkan jiwa, mengecilkan ego, dan membuka ruang persaudaraan.

“Parti-parti Melayu-Islam lain pula harus mencari persamaan demi kelangsungan kuasa politik bangsa.

“Rumah Bangsa ialah janji kepada generasi akan datang sebuah rumah yang inklusif, teduh dan perkasa. Umno telah membuka pintu.

“Kini masanya seluruh anak bangsa pulang untuk membina kegemilangan bersama,” kata Hasmuni dalam kenyataan media pada Isnin.

Menurut beliau, Rumah Bangsa juga menolak politik dendam.

Kata Hasmuni, ia dibina secara proaktif, bukan untuk menjatuhkan sesiapa, tetapi untuk mengangkat martabat bangsa melalui politik penyelesaian.

“Mengapa “rumah”, bukan khemah atau payung? Kerana model penyatuan bersifat sementara sering gagal apabila berdepan ribut politik. Khemah mudah terbang, payung mudah koyak.

“Rumah melambangkan keteguhan bertapak pada akar umbi, bertiang prinsip, berdinding perlembagaan matang dan berbumbungkan kepimpinan stabil.

“Umno menawarkan kekekalan, bukan perkahwinan kontrak politik yang sementara,” tegas beliau.

Jelas Hasmuni lagi, gagasan “Rumah Bangsa” yang diketengahkan oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung Umno 2025 bukan sekadar retorik politik, tetapi lahir daripada keperluan mendesak realiti semasa.

“Di tengah polarisasi kaum dan perpecahan Melayu yang semakin parah, Umno tampil menawarkan sebuah suaka politik ruang penyatuan yang berasaskan keikhlasan demi masa depan Melayu-Islam dalam kerangka Malaysia.

“Persoalan mengapa ia perlu sekarang mempunyai jawapan yang jelas. Sejarah membuktikan bahawa setiap kali suara Melayu terpecah, kestabilan negara turut tergugat.

“Dalam era politik baharu yang tidak menentu, Umno dengan struktur nasional paling utuh kekal sebagai entiti yang memiliki keupayaan menjadi tiang seri Rumah Bangsa.

“Ini bukan soal dominasi, tetapi amanah sejarah agar bangsa tidak terus terpinggir di tanah sendiri,” jelas beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat