Hidupkan semula UPSR, laksana reformasi pendidikan sukar tapi perlu – Guan Eng

KUALA LUMPUR- Rakyat Malaysia menaruh harapan agar Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, dan Timbalan Menteri Wong Kah Woh dapat melaksanakan reformasi pendidikan yang sukar tetapi perlu.

Hal ini seiring dengan justifikasi peruntukan besar berjumlah RM66.2 bilion, serta mendorong Malaysia ke tahap kejayaan yang lebih tinggi, kata Penasihat DAP Lim Guan Eng.

Menurut ahli Parlimen Bagan itu, sekurang-kurangnya UPSR wajar dihidupkan semula bagi mengukur tahap kemajuan yang dicapai oleh murid selepas 6 tahun pendidikan sekolah rendah.

“Peperiksaan merupakan salah satu ciri utama serta penanda aras prestasi akademik dan barometer kecemerlangan yang berterusan.

“Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035 esok, reformasi yang diperlukan bukan sahaja mesti memastikan peningkatan kedudukan Program Penilaian Pelajar Internasional (PISA) yang mengukur kemahiran asas membaca, matematik dan sains dalam kalangan pelajar berusia 15 tahun, malah turut mempromosikan pendidikan STEM bagi melahirkan bilangan jurutera dan saintis yang mencukupi untuk menguasai teknologi baharu dan AI.

“Kita tidak boleh terus ketinggalan, termasuk berbanding Vietnam, dalam skor PISA serta pengeluaran atau kepadatan jurutera.

“Tiada kompromi boleh dibuat terhadap piawaian pendidikan yang dibataskan oleh retorik emosi tanpa disokong oleh fakta, data dan pengetahuan,” tegas beliau.

Rancangan Pendidikan Negara (RPN) yang akan dilancarkan esok digarap sebagai pelan transformasi menyeluruh bagi menutup kelompongan sistem pendidikan negara yang sekian lama membelenggu pelajar, khususnya membabitkan jurang prasarana, akses teknologi dan kualiti pembelajaran.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, RPN dirangka berteraskan aspirasi untuk merapatkan kesenjangan pendidikan secara menyeluruh, termasuk kemudahan fizikal sekolah, penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta infrastruktur internet yang kini menjadi asas kepada peluang pendidikan lebih adil dan saksama.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat