Eksport Agrikomoditi Mencanak Ketika Pandemik Covid – PM

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Ketika dunia diserang wabak COVID-19 12 Malaysia muncul sebagai negara pengeluar terbesar dunia bagi sarung tangan getah apabila menguasai 65 peratus pasaran produk berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada tahun 2020, sektor Agrikomoditi negara telah menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang dianggarkan sebanyak RM85 bilion, yang mana sumbangan KDNK Huluan Agrikomoditi adalah sebanyak RM46 bilion, manakala Hiliran sebanyak RM38 bilion.

“Meskipun pandemik COVID-19 melanda negara, nilai eksport produk Agrikomoditi pada tahun 2020 terus kukuh pada RM151.3 bilion dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 17.8 peratus berbanding RM128.5 bilion pada tahun 2019.

“Pada tahun 2021 pula, jumlah eksport Agrikomoditi terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan walaupun negara masih berada dalam pandemik COVID-19.

“Saya dimaklumkan, sehingga bulan November 2021, pendapatan eksport dianggarkan RM189.8 bilion iaitu meningkat 41.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020,” katanya pada Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Putrajaya pada malam ini.

Ismail Sabri mengulas, perubahan ini banyak didorong oleh peningkatan import di negara pasaran utama selain nilai komoditi yang tinggi khususnya membabitkan produk berasaskan sawit.

“Contohnya, jumlah eksport produk berkaitan sawit ke India telah mencatatkan peningkatan yang membanggakan dengan peningkatan eksport melebihi sekali ganda iaitu daripada RM8.5 bilion pada tahun 2020, kepada RM17.8 bilion pada tahun 2021.

“Jumlah eksport kayu dan produk berasaskan kayu ke India juga meningkat, walaupun pada kadar yang lebih daripada RM781 juta ringgit kepada RM839 juta ringgit bagi tempoh yang sama, iaitu peningkatan sebanyak 7.5 peratus,” ujarnya.

Pun begitu, dalam usaha membangunkan ekonomi, Malaysia tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai cabaran terutama sekatan yang dilakukan oleh pihak tertentu khususnya media barat ke atas hasil keluaran Agrikomoditi negara seperti minyak sawit dan getah, yang dikaitkan dengan buruh paksa.

Namun kata Perdana Menteri, demi semangat Keluarga Malaysia, warga Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan Agensi dengan dokongan para pemain industri perlu berdiri teguh untuk mempertahankan produk negara agar terus diterima di seluruh dunia dan diangkat kedudukannya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, sejak berdekad lalu, sektor Agrikomoditi telah menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia.

“Sektor Agrikomoditi bukanlah sesuatu yang asing bagi saya kerana saya merupakan anak kepada seorang penoreh getah. Pada ketika itu, harga sekati getah hanyalah beberapa sen berbanding sekarang. Namun, hasil itulah yang menyara kehidupan saya dan kebanyakan daripada kita sehingga berjaya.

“Lebih penting, hasil daripada pekerjaan di sektor ini telah berjaya mengurangkan keluarga yang dibelenggu kemiskinan. Kadar kemiskinan dalam kalangan peladang dan pekebun kecil sektor Agrikomoditi telah menurun dengan signifikan.

“Kadar kemiskinan nasional pada tahun 1970 adalah pada tahap 49.3 peratus dan telah menurun kepada 5.6 peratus pada tahun 2019. Saya percaya, penurunan ini sebahagiannya adalah sumbangan daripada sektor ini.

“Pada masa yang sama, ia merupakan hasil usaha berterusan Kerajaan bagi memastikan seluruh Keluarga Malaysia dapat menjalani kehidupan yang selesa,” jelas Perdana Menteri.

Kerajaan akan memastikan sektor Agrikomoditi terus kukuh,” katanya.

“Di bawah Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’, Kerajaan telah memperuntukkan sekitar RM670 juta kepada kementerian ini bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

“Malah, Kerajaan menerusi KPPK akan melancarkan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 bagi menggantikan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 dalam usaha memacu pembangunan sektor itu secara lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran.

“Dasar yang akan memayungi pembangunan Agrikomoditi negara adalah penting agar sektor ini terus berdaya saing dan kekal terpelihara sepanjang zaman. Ini selaras dengan norma baharu dan peningkatan penggunaan digital pasca COVID-19.

“DAKN 2021-2030 akan digunakan sebagai rujukan kepada industri komoditi negara dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030,” ujar beliau.

Selain itu kata Ismail Sabri, ia akan melahirkan pekebun kecil ‘pintar’ yang mengamalkan pertanian moden menerusi penggunaan teknologi. Dasar ini bakal meningkatkan daya saing usahawan bumiputera dalam sektor industri hiliran Agrikomiditi.

Menurut beliau usaha ini seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sektor ini yang amat penting kepada pembangunan negara.

“Saya sentiasa menaruh harapan tinggi agar sektor Agrikomoditi yang merupakan sumber pendapatan bagi hampir 1 juta pekebun kecil dapat membantu negara menjana semula ekonomi dan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat.

“Saya amat berharap agar tuan-tuan dan puan-puan selaku jentera kerajaan dapat membantu memperbaiki taraf hidup dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil untuk kesejahteraan dan kemakmuran Keluarga Malaysia.

“Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam sektor ini melalui Jelajah Agrikomoditi nanti, terutama pekebun kecil di kampung yang sentiasa setia memberi pengorbanan kepada tanaman Agrikomoditi,” ucap beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat