KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 dengan merekodkan 1,683 kes dan tiada kes kematian hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kes positif di Malaysia 90,816 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan 15,140 kes.
Menurutnya, daripada jumlah kes baharu berkenaan terdapat lapan kes import mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah 1,675 kes.
“Jumlah kes sembuh yang direkodkan hari ini adalah sebanyak 1,214 kes dan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya 75,244 kes.
“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 692 kes diikuti Sabah mencatatkan 260 kes manakala Kuala Lumpur 197 kes.
“Sebanyak 313 kes yang dilaporkan hari ini berkaitan beberapa kluster di penjara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, 106 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 51 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, terdapat penambahan enam kluster baharu dikenal pasti hari ini iaitu Kluster Tapak Bina Lebuh di Sepang, Kluster Sugud di Penampang dan Papar, Sabah serta Kluster Tapak Bina Jalan Tengah di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
Selain itu, Kluster Persiaran Heights di Seremban, Negeri Sembilan; Kluster Tembok Gajah di Kluang, Johor dan Kluster Utama Rini di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Kulai dan Pontian. – Hmetro