Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Konvensyen Silat Melayu Antarabangsa 2025 (KOSSMA25) menjadi tanda sejarah baru dalam usaha kita mengangkat silat Melayu sebagai warisan agung bangsa dan lambang perpaduan Nusantara, kata Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.
Seni silat Melayu bukan sekadar seni bela diri malah warisan bangsa hasil gabungan roh perjuangan, nilai budi, dan falsafah kehidupan Melayu yang telah bertahan berabad lamanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Silat Melayu Antarabangsa 2025 (KOSSMA25)
di Auditorium JMM, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Senator Dato’ Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan; Presiden Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia
(DSSM), Roslim Abu; Guru Utama & Presiden Pertubuhan Pemedang Seni Sukma Kencana Malaysia merangkap Pengerusi Bersama (Akademik) KOSSMA 25; Teungku Nara Paduka Hj. Muhammad Hanif Hosainel Majidi; Pengasas Yayasan Al-Amin, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin; dan Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) JMM, Mohd Razaimi Hamat.
KOSSMA25 bertemakan ‘Matra Silat: Seni, Sains dan Spiritual’, dianjurkan oleh DSSM dan Pertubuhan Pemedang Seni Sukma Kencana Malaysia dengan kerjasama JMM, Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM serta Yayasan Al-Amin.
Kamarul Baharin berkata dalam setiap gerak langkah silat, tersirat makna mendalam tentang disiplin, hormat, dan maruah diri. Inilah nilai yang harus kita pelihara, agar silat terus menjadi tiang seri budaya bangsa.
Menurut beliau, KOSSMA25 menghimpunkan pelbagai perguruan silat di bawah satu payung, dengan semangat perpaduan, ilmu, dan persaudaraan. Inilah semangat yang kita mahu suburkan bahawa walau berlainan aliran, kita tetap sehati dalam perjuangan memartabatkan warisan bangsa.
“Penganjurannya amat bertepatan dengan peranan JMM yang bukan sahaja memelihara khazanah sejarah,tetapi juga mendukung usaha menghidupkan warisan tidak ketara, termasuklah seni silat Melayu yang menjadi identiti kita.
“Saya percaya,melalui kolaborasi seperti ini, muzium bukan sekadar berperanan
sebagai ruang pameran,bahkan berfungsi sebagai medan ilmu dan menghidupkan semangat mencintai khazanah warisan negara,”katanya.
“Dalam dunia global yang serba moden, kita berdepan cabaran untuk memastikan generasi muda tidak kehilangan akar budayanya.
“Oleh kerana itu, usaha memperkenalkan silat melalui konvensyen seperti ini amat penting bukan sahaja untuk memperkukuh jati diri bangsa,tetapi juga untuk memperkenalkan warisan kita kepada dunia.
“Konvensyen yang dianjurkan ini merupakan salah satu cara untuk menyebarluaskan maklumat dan mengukuh persefahaman dalam konteks perpaduan masyarakat.
“Semoga dengan usaha sebegini, kesepaduan dan keharmonian dalam masyarakat Malaysia MADANI dapat dikekalkan. Ini selaras dengan matlamat kerajaan yang digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara iaitu untuk membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling menghormati dan bertanggungjawab,”katanya lagi.
Ujarnya, melalui program-program sebegini, ianya dapat memperkukuh serta menyebarluas fungsi dan peranan muzium sebagai sebuah agensi penyebaran ilmu
yang penting berteraskan koleksi sejarah, budaya dan alam semula jadi.
“Dalam usaha melaksanakan agenda perpaduan negara, kerjasama jitu diantara pelbagai pihak perlulah dibina. Penganjuran program sebegini secara kolaborasi strategik berupaya menjadi mekanisme yang dapat memperkukuh jaringan dan jalinan usaha-usaha pemerkasaan agenda perpaduan negara melalui budaya dan warisan, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, hasil daripada perbincangan dan pembentangan di KOSSMA 2025 ini, pelan tindakan bersama dapat dihasilkan bagi memperkukuh ekosistem silat Melayu sama ada daripada segi pendidikan, dokumentasi, penyelidikan, dan promosi antarabangsa.
“Konvensyen ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik dalam memberi peluang kepada muzium untuk menyantuni komuniti dalam usaha melestarikan kebudayaan dan warisan negara. Usaha sebegini juga dapat mengukuhkan lagi kerjasama dan menyemai semangat perpaduan dikalangan masyarakat, ”tambahnya lagi.
Terdahulu, Presiden Persatuan DSSM, Roslim Abu berkata sokongan JMM menjadi titik tolak penting untuk mengangkat martabat silat Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.
“Hari ini, kita melihat hampir semua perguruan silat bersatu di bawah satu bumbung, atas nama silat, demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.
“Lebih membanggakan, dengan busana Melayu yang penuh bergaya, kita menunjukkan jati diri bangsa yang beradab, berbudaya dan berdaulat.
“Silat bukan sekadar gerak dan langkah, tetapi falsafah kehidupan, ia mendidik adab, budi dan kesetiaan, serta menyemai semangat perjuangan dan persaudaraan, ”katanya.
“Dalam dunia yang semakin moden, tanggungjawab kita ialah memastikan silat terus hidup dalam jiwa anak muda. Jangan biar ia tinggal di muzium, tetapi biarlah ia bernafas dalam masyarakat, menjadi benteng budaya dan semangat bangsa,”katanya lagi.
KOSSMA25 terdiri dari tiga komponen utama iaitu Seminar Seni Silat Melayu Antarabangsa, Pameran Persenjataan Melayu, Rentap Silap mempersembahkan Demonstrasi Silat Tradisi dari lebih 20 perguruan. Selain itu, Gerai Jualan Warisan dan Majlis Anugerah Tokoh Persilatan.
Konvensyen yang berprestij ini turut menghimpunkan para sarjana, pengamal silat, pewaris muda dan pencinta budaya dari dalam serta luar negara. -SUARA.TV



