KUALA LUMPUR: Tindakan aktor Adam Shahz mendedahkan ada syarikat produksi berdegil meneruskan penggambaran biarpun sebahagian kru positif COVID-19 mencetuskan kontroversi apabila nama JS Pictures milik Sheila Rusly dikaitkan dengan dakwaan itu.
Meskipun tidak menyatakan nama produksi, namun, berdasarkan pengakuan Adam yang mendakwa mempunyai bukti terdapat produksi mengarahkan pelakon dan kru agar tidak ‘berkokok’ mengenai isu menjadi kontak rapat pesakit COVID-19 mengundang penerbit JS Pictutres, Sheila memperjelaskan perkara sebenar yang berlaku.
Mengakui berang dengan dakwaan disifatkan sebagai fitnah dan satu cubaan untuk menabur pasir dalam periuk nasi, Sheila menafikan segala tuduhan dilemparkan, sambil menegaskan produksinya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, terutama soal membabitkan kejadian positif COVID-19.
“Apa yang berlaku sebenarnya adalah mesej suara dihantar suami yang juga pengarah, Jinggo kepada semua produksi. Ia disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Walaupun Adam memberikan alasan tidak menyebut nama mana-mana produksi dalam kenyataannya, namun, apabila menggunakan perkataan ‘berkokok’ jelas ia datangnya daripada mesej dihantar Jinggo.
“Mesej ini dihantar Jinggo kepada artis dan kru produksi yang disahkan negatif COVID-19, bukannya mereka yang positif.
“Ia adalah sebagai peringatan agar artis dan kru dapat menyelesaikan baki penggambaran mengikut masa ditetapkan tanpa memberikan pelbagai alasan.
“Mesej ini dimanipulasikan hingga kedengaran Jinggo mengarahkan supaya semua artis dan kru perlu menghabiskan baki penggambaran meskipun ada pelakon dan petugas dijangkiti virus berkenaan,” katanya kepada BH Online.
Terdahulu, Adam memuat naik hantaran dalam Facebook merujuk kepada sebuah syarikat produksi yang tidak bertanggungjawab dengan meneruskan penggambaran walaupun sebahagian kru disahkan positif COVID-19.
Sheila berkata, dia masih berfikiran waras dan tidak mungkin melakukan perkara yang boleh menjejaskan reputasi syarikat serta menutup periuk nasi sendiri.
“Sebaik sahaja mendapat tahu salah seorang pelakon disahkan positif COVID-19, kami terus menghentikan penggambaran dan mewajibkan semua artis dan kru produksi menjalankan ujian calitan di klinik serta menjalani kuarantin kendiri.
“Hasil keputusan ujian calitan mendapati ada seorang kru produksi disahkan positif. Selepas tiga hari sebelum kembali meneruskan penggambaran, saya sekali lagi mengarahkan artis dan kru produksi membuat ujian calitan.
“Kali ini, ujian calitan akan dijalankan di pejabat JS Pictures. Bagaimanapun, sebelum datang ke pejabat, mereka diminta terlebih dahulu melakukan ujian menggunakan kit kendiri sebagai langkah berjaga-jaga.
“Hasilnya, dua kru didapati positif dan kami arahkan mereka supaya meneruskan kuarantin. Mereka berdua kini berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
“Semua laporan diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk makluman,” tegas Sheila yang juga pelakon berkaliber ini.

Ditanya apakah JS Pictures menghubungi Adam untuk mendapatkan penjelasan, Sheila berkata, anaknya, Uzair Haqimy ada menghubungi pelakon itu.
“Pada mulanya, saya tidak tahu menahu berita yang tersebar sehinggalah dihubungi oleh sebuah program televisyen yang mahu mendapatkan kenyataan berhubung dakwaan Adam.
“Selepas disiasat dan mengetahui kisah sebenar, Jinggo cuba menghubungi Adam, namun, gagal. Selepas itu, barulah Uzair dapat menghubunginya.
“Penjelasan diberikan tidak memuaskan hati hingga membuatkan Jinggo hilang sabar disebabkan terlalu marah dengan tindakannya mereka-reka cerita tanpa mengetahui isi kandungan mesej suara yang dihantar.
“Saya ada terbaca permohonan maaf dibuat menerusi media sosial, baru-baru ini.
“Bagi saya, permohonan maaf tidak ikhlas kerana antara lain tidak menyebut langsung nama JS Pictures dalam dakwaannya.
“Sebaliknya, Adam mendakwa produksi dikatakan melanggar SOP adalah produksi lain. Saya mencabar Adam jika betul produksi dimaksudkannya bukan JS Pictures, sila datang berjumpa saya.
“Dia kata ada bukti? Kalau betul, bawalah bukti sekali jika benar dakwaan dibuatnya tidak membabitkan produksi saya. Nak tahu juga produksi mana yang tidak bertanggungjawab itu.
“Tetapi, hingga hari ini saya tunggu, tiada pula datang berjumpa saya,” katanya.
Sheila mendakwa, insiden itu ada kaitan dengan komplot untuk mencemarkan nama baik JS Pictures.
“Saya masih menyiasat siapakah individu yang menyebarkan mesej suara kepada orang luar hingga tular. Namun, hasil siasatan mendapati memang ada komplot dilakukan oleh beberapa individu yang juga pelakon yang bertujuan untuk menjatuhkan saya.
“Saya tahu siapa mereka. Apa yang menghairankan, mereka tidak pernah pun berlakon di bawah produksi saya. Pesan saya, jangan hanya berani dalam media sosial.
“Sampai masa saya akan dedahkan identiti mereka yang terbabit dalam komplot ini,” tegas Sheila.
Berita Harian