FINAS gesa syarikat produksi buat ujian berkala

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak memandang ringan berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di lokasi penggambaran bagi mengelakkan tercetusnya kluster warga seni.

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah melakukan sehabis baik dengan mematuhi pelan pemulihan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menuju dari fasa pandemik kepada endemik.

Katanya, FINAS tidak pernah lepas tangan setiap kali menerima aduan berkaitan syarikat produksi tidak bertanggungjawab melanggar SOP, termasuk meneruskan penggambaran biarpun ada di kalangan kru yang tidak sihat.

Mengulas dakwaan sebuah syarikat produksi yang dipercayai JS Pictures didakwa meneruskan penggambaran biarpun sebahagian kru didapati positif COVID-19, Zakaria berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan insiden kes positif COVID-19 itu.

“FINAS ada terima aduan dan pasukan penguatkuasaan sudah dikerahkan ke lokasi penggambaran bagi melakukan pemeriksaan. Kita mendapati syarikat berkenaan mematuhi SOP penggambaran seperti dikeluarkan oleh MKN.

“Bagaimanapun, mereka gagal mematuhi SOP daripada KKM mengenai keperluan menjalani kuarantin selama tujuh hari, apabila menyambung kembali penggambaran pada hari keenam.

“Kes ini sudah berada dalam penilaian KKM dan FINAS hanya menantikan tindakan sewajarnya daripada pihak kementerian,” katanya kepada BH Online.

Zakaria turut menyeru syarikat produksi memberikan kerjasama sepenuhnya termasuk membuat ujian COVID-19 secara berkala.

“Kes jangkitan tetap akan berlaku, namun, apabila pelakon dan kru sudah divaksinasi, kesan jangkitan adalah minima iaitu dalam kategori 1 & 2 sahaja,” katanya.

Bulan lalu, FINAS menyiasat kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan penularan kes COVID-19 dan dakwaan penyalahgunaan dadah seorang pengarah filem, penolongnya serta seorang pelakon di Perak.

Zakaria ketika itu berkata jika terbukti berlaku kecuaian pematuhan SOP dan penyalahgunaan dadah oleh syarikat produksi terbabit, FINAS akan menarik balik kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dan menimbangkan pembatalan Dana Kandungan Digital (DKD) jika melanggar peraturan dalam perjanjian yang sudah dimeterai.

Zakaria berkata, penerbit, tenaga produksi dan pelakon yang terbukti terbabit dalam kes pelanggaran SOP dan dakwaan penyalahgunaan dadah akan disenarai hitam.

Zakaria berkata, dalam mengawasi SOP syarikat produksi, FINAS mengingatkan semua Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) untuk menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan amanah.

“PPP yang sudah dilantik syarikat produksi perlu memainkan peranan dan menunaikan tanggungjawab dengan sentiasa memastikan artis dan kru mematuhi semua garis panduan ditetapkan dan membuat rekod dalam buku log yang disediakan FINAS,” katanya.

Zakaria berkata, FINAS sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menangani dan menyelesaikan isu berbangkit demi memastikan nama baik industri kreatif terpelihara.

“FINAS ingin menyatakan komitmen untuk bertindak lebih agresif dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP.

“Kami juga mengalu-alukan aduan daripada masyarakat sekiranya mendapati berlaku perlanggaran SOP aktiviti penggambaran,” katanya.

Sementara itu, FINAS dalam kenyataan media menyebut, perbadanan itu sudah mengambil langkah proaktif bagi memantau aktiviti penggambaran filem di bawah SPP Khas bagi memastikan setiap syarikat produksi mematuhi SOP digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“FINAS sudah mengambil inisiatif dengan menyalurkan maklumat dan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan bagi tindakan selanjutnya (bagi kes perlanggaran SOP MKN),” katanya.

Sebelum ini juga beberapa karyawan seni membabitkan pengarah filem dan penolongnya, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak, atas pertuduhan memiliki dadah pada Ahad lalu.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli  turut mengingatkan syarikat penerbitan supaya sentiasa bertanggunggjawab dan tidak lepas tangan untuk menangani masalah kes COVID-19 di set atau lokasi penggambaran mereka.

“Tolonglah bertanggungjawab. Janganlah lepas tangan dan jangan fikir pasal untung rugi semata-mata. Janganlah lari apabila timbul sesuatu masalah semasa penggambaran, lebih-lebih lagi yang melibatkan isu COVID-19,” katanya kepada portal Getaran.

Jelas Jurey untuk membuat penggambaran, setiap produksi diwajibkan mematuhi garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Penggambaran juga tidak boleh dijalankan tanpa SPP Khas (Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas) dan ini juga hanya boleh diperolehi jika penerbitan patuh SOP.

“Dalam garis panduan itu, FINAS sudah pun meletakkan syarat supaya para pelakon, kru dan semua orang yang terlibat dalam setiap penggambaran diwajibkan menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19.

“Selain itu, ujian calitan di lokasi perlu dilakukan. Seorang Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) juga perlu ada di setiap lokasi untuk memantau SOP setiap hari.

“Tugas pegawai PPP adalah memastikan keseluruhan aktiviti penggambaran mematuhi SOP setiap hari. Bermakna pegawai ini perlu ambil suhu setiap pelakon dan kru produksi setiap hari dan mereka perlu menghantar laporan tersebut kepada FINAS.

“Tapi, apabila syarikat penerbitan gagal berbuat demikian (menggaji pegawai PPP), bermakna secara tidak langsung mereka telah melanggar SOP yang sudah ditetapkan FINAS menerusi permohonan SPP Khas.

“SOP ini dilaksanakan mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kalau orang awam langgar SOP, mereka akan disaman. Jika syarikat penerbitan tidak mematuhi salah satu syarat SOP, ini bermakna wajar tindakan dikenakan ke atas mereka kerana mereka telah mewujudkan kluster penggambaran.

“Apa pun, saya tidak mengusulkan apa-apa cadangan kerana dalam hal ini, ia jatuh di bawah bidang kuasa FINAS,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat