KUALA LUMPUR — Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan Belanjawan 2025 berkonsepkan keadilan serta mempunyai iltizam untuk mengurangkan defisit dan mengurangkan hutang termasuk pinjaman baru.
Fahmi berkata kementeriannya akan memastikan lebih 50 ikhtiar yang dibentangkan Perdana Menteri dapat difahami bukan sahaja menerusi media sosial sehingga ke peringkat akar umbi.
“Belanjawan 2025 kali ini dilihat mengangkat martabat rakyat berteraskan ekonomi Madani dengan merangkumi semua lapisan masyarakat dalam pelbagai aspek.
“Kita juga tidak boleh menafikan selain daripada peningkatan gaji penjawat awam, dasar gaji progresif dan penerapan gaji minimum baru membuktikan usaha kerajaan menaikkan lantai pendapatan dan memastikan peningkatan pendapatan rakyat menjadi satu realiti,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Dalam sidang media yang sama Fahmi berkata, pembangunan kecerdasan buatan (AI) akan diletakkan di bawah Kementerian Digital, sekali gus menyifatkan pembangunan itu adalah langkah ke hadapan dengan memberi insentif yang berkaitan.
“Kita lihat petanda positif seperti penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan bantuan diberikan kepada institusi pengajian tinggi untuk membangunkan kursus ini, mereka akan mendapat pelepasan cukai.
“Ini sangat baik untuk menerapkan ilmu baru pembangunan AI oleh Kementerian Digital, dibantu Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) untuk memastikan rakyat memanfaatkan industri AI, juga dapat mengguna pakai AI dengan lebih baik dan ke hadapan,” katanya.