Kes Zahid dah berjalan empat tahun, hanya sangsi selepas Anwar jadi PM – Mahathir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kesangsian terhadap kes-kes rasuah yang dilakukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya timbul setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjadi Perdana Menteri dengan sokongan Presiden Umno itu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan apa yang jelas, kes-kes terhadap Zahid gugur dengan Perdana Menteri sekarang.

“Jika saya telah salah guna kuasa dan mengarah pendakwa raya ketika itu untuk tekan Zahid, kenapa tidak seorang pun Menteri-Menteri Kabinet atau pemimpin-pemimpin parti Pakatan Harapan (PH) termasuk Anwar, mempersoal Zahid dihadapkan ke mahkamah.

“Ramai menteri di dalam Kabinet saya adalah dari PH dan PKR, termasuk juga isteri Anwar (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) yang menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Kalau mereka kata tidak berani berkata apa-apa, ia agak lucu kerana apabila berkait dengan serah jawatan PM kepada Anwar, mereka lantang dan bersemangat.

“Mungkin mereka lupa, kesemua mereka menyokong proses undang-undang yang dilakukan terhadap Zahid (dan Datuk Seri Najib) kerana itu adalah mengikut Rule of Law serta bukti Kerajaan PH ketika itu berjuang melawan rasuah,” tegas Mahathir dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, beliau juga mengulas bahawa Anwar dalam satu temu ramah bersama Bloomberg News beberapa hari lalu menyatakan bahawa keputusan menarik balik 47 kes rasuah terhadap Zahid adalah sepenuhnya keputusan Peguam Negara.

“Dia kata kes-kes terhadap Zahid dilakukan secara tergesa-gesa. Pada masa yang sama Anwar cuba kaitkan nasihat saya kepada Zahid supaya bubarkan Umno dan apabila Zahid tidak mahu, maka dia dihadapkan dengan kes-kes rasuah tersebut.

“Pertamanya, saya nak jawab mengenai tuduhan kes itu dibuat secara tergesa-gesa.

“Kes terhadap Zahid telah diangkat oleh Peguam Negara ketika itu kerana ianya telah menjadi isu panas semasa kempen pilihan raya seperti mana kes Najib dan 1MDB.

“Peguam Negara ketika itu telah membuat penyiasatan dan mendapati terdapat kes untuk mendakwa Zahid,” jelas beliau.

Maka katanya, kes itu dibawa ke mahkamah.

“Selama empat tahun dengan puluhan saksi serta bukti-bukti dibentang, Hakim Mahkamah Tinggi berpuas hati pendakwa telah berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap Zahid dan dia di arah untuk mempertahankan diri.

“Amatlah tidak logik untuk seorang Hakim Mahkamah Tinggi berpuas hati bahawa ada kes prima facie jika pendakwa gagal memberi bukti yang kukuh dan hujahan yang baik.

“Bagi saya, setelah diserang bertubi-tubi, kenyataan Anwar bertujuan untuk mempertahan keputusan pendakwa yang menarik balik kes terhadap Zahid dan pada masa yang sama membuat andaian ada unsur menganiaya Zahid.

“Oleh kerana itu dia cuba kaitkan isu saya menyuruh Zahid bubar Umno dan kerana tidak mahu, maka dia dituduh dengan kes-kes itu,” ujarnya.

Perkara kedua yang ingin Mahathir sentuh ialah mengenai beliau suruh Zahid bubar Umno.

“Benar saya suruh Zahid bubar Umno kerana saya yakin dia akan guna Umno sebagai alat, sebagai bahan rundingan atau bargaining chip untuk mengelak dirinya dari didakwa atas kesalahan-kesalahan rasuahnya.

“Saya percaya dia cuba guna Umno semasa Tan Sri Muhyiddin jadi PM untuk gugurkan kes-kesnya dan apabila Muhyiddin tidak setuju, Zahid tarik balik sokongan Umno sehingga kerajaan itu jatuh.

“Selepas itu dia cuba menerusi (Datuk Seri) Ismail Sabri tetapi Ismail Sabri tidak berani nak lakukan kerana pendapat awam amat kuat terhadap Zahid. Kerana itu Ismail Sabri dipaksa bubar Parlimen dan adakan pilihan raya lebih cepat,” katanya.

Tambah beliau, hari ini terbukti jangkaannya benar.

“Dia telah guna Umno untuk memastikan Anwar jadi Perdana Menteri walaupun semasa berkempen di dalam PRU 15 dia telah mendesak penyokong Umno supaya menolak Anwar dan DAP.

“Malahan sebelum itu, menurut seorang pemimpin dan tukang cakap Umno (Datuk Seri) Ahmad Maslan, Zahid telah bersumpah laknat tidak akan sama sekali bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

“Saya tak berapa maklum apa maksud sumpah laknat kepada Zahid atau Ahmad Maslan, tetapi kefahaman saya ialah ianya bersumpah guna nama Allah dan sedia dilaknat jika sumpah itu di langgar.

“Saya juga tak tahu jika sumpah laknat boleh ditarik balik kerana sepatutnya sebelum sumpah itu diungkap, orang yang melafazkannya sudah tekad dan tiada keraguan sama sekali dengan niatnya,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat