Betulkan niat, fokus kepada anak – Nabila

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: ‘Betulkan niat dan fokus kepada perkara yang mahu dilakukan selepas bercerai’.

Itu nasihat dikongsi Noor Nabila Mohd Noor, bekas isteri Sharnaaz Ahmad yang mengaku selepas berpisah dengan aktor itu, dia dihujani pertanyaan pengikut yang mahu mendapatkan nasihat bagaimana hendak membina kekuatan selepas rumah tangga runtuh.

Bukan sekadar pengikut, kakak kepada pengacara dan pelakon, Neelofa ini memberitahu, ada rakan artis cuba mendapatkan panduan daripadanya berdepan perceraian.

“Saya mendapat banyak pertanyaan daripada orang ramai mengenai bagaimana hendak mendapatkan kekuatan menempuh perceraian dan menyelesaikannya dengan baik.

“Ramai bertanya bagaimana saya boleh kuat di hadapan Sharnaaz. Saya tidak membalas setiap pertanyaan kerana perihal ini agak peribadi.

 

 

Sharnaaz dan Nabila mengekalkan hubungan baik demi masa depan Jebat. Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Sharnaaz dan Nabila mengekalkan hubungan baik demi masa depan Jebat. Foto NSTP/Asyraf Hamzah

 

“Jadi, saya mahu berkongsi, apabila kita betulkan balik niat dan apa yang kita hendak sebenarnya dalam hidup selepas kita dan suami sudah tidak lagi bersama, iaitu masa depan anak, insya-Allah semuanya akan baik,” katanya kepada BH Online.

Tambah Nabila, anak tidak sepatutnya menjadi mangsa keruntuhan institusi keluarga.

“Teruskan kehidupan, jangan ada dendam atau marah kerana semua itu akan membuat kita sukar untuk bergerak ke hadapan.

“Ia akan memberi kesan pada kesihatan kita. Setiap hari kita bangun, kita mencari jalan untuk ‘kenakan’ bekas suami kita, kelak perbuatan itu akan memberi kesan pada diri kita sendiri dan anak kita.

“Anak kita akan melihat contoh yang tidak baik dan hidup dalam keadaan tidak sihat,” katanya.

Bagaimanapun, Nabila tidak menganggap perceraian adalah penyelesaian bagi semua masalah rumah tangga.

Tambahnya, setiap masalah boleh diselesaikan dengan baik sebelum dibawa ke Mahkamah Syariah.

“Nasihat saya, tak perlulah bercerai kalau sekadar masalah kecil. Selesaikan dulu dengan cara baik.

“Kalau artis lagilah, elak datang ke Mahkamah Syariah sebab masalah itu akan jadi besar. Kadang-kadang masalah itu boleh diselesaikan dengan cara baik tapi apabila kita mengambil langkah drastik, ia tidak boleh diselesaikan.

“Jangan ikut emosi, fikir dulu sebelum nak buat sesuatu,” katanya.

Pagi tadi, Sharnaaz dan Nabila mencapai kata sepakat dan bersetuju dengan tuntutan yang dimeterai dalam perjanjian penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini.

Tuntutan yang dimeterai melalui surat ditandatangani kedua-dua pihak membabitkan nafkah edah, hadanah atau hak penjagaan dan nusyuz yang dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamed Fauzi Mokhtar.

Nabila dan Sharnaaz bercerai pada 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Mereka berkahwin pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan anak lelaki, Jebat Jayden Ahmad, berusia dua tahun.

 

Berita harian
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat