KOTA BHARU – Barisan Nasional (BN) Kelantan mengumumkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub semasa sidang akhbar di Bangunan UMNO Kelantan pada Khamis.
Sementara itu, Mohd Azmawi percaya beliau berpeluang untuk menang.
“Agak terkejut sebab secara ikhlasnya saya tidak menjangkakan PRK berlangsung secepat ini. Saya mengambil cabaran ini, insya-ALLAH dengan kerjasama serta kekuatan semua jentera parti, kita akan tawan kembali DUN Nenggiri,” katanya.
Menurut Mohd Azmawi, beliau mesti berpijak di bumi yang nyata dan turun ke gelanggang PRK dengan kekalahan 810 undi sebelum ini.
Ujarnya, beliau perlu bekerja kuat bersama dengan barisan jentera BN dan ia bukan mudah tapi akan diusahakan.